TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dihalang ke luar negara, mahkamah benarkan suri rumah saman Ketua Pengarah Imigresen, kerajaan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 25 Ogos – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan seorang suri rumah, S Sumathi, untuk mengembalikan semula saman kecuaian terhadap Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan Malaysia selepas beliau tersilap dikenal pasti sebagai muflis dan dihalang daripada ke luar negara.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa saman Sumathi bukanlah kes obvious and unsustainable (jelas dan tidak boleh dikekalkan) sehingga wajar dibatalkan.

Hakim Sequerah menegaskan Sumathi telah mematuhi keperluan di bawah Akta Prosiding Kerajaan, termasuk menamakan Ketua Pengarah Imigresen dengan tepat sebagai penjawat awam seperti ditetapkan dalam Akta Tafsiran.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar kos guaman sebanyak RM15,000 kepada Sumathi.

Kes kini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen pada Mei lalu membatalkan saman Sumathi kerana beliau tidak menamakan pegawai imigresen yang menahannya sebagai defendan.

Keputusan itu kemudian dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 3 Mac lalu.

Sumathi, 44, mendakwa beliau dihalang menaiki pesawat di KLIA 1 pada 25 November 2022 selepas sistem komputer imigresen tersalah mengenal pasti dirinya sebagai muflis.

Kesemua ahli keluarganya seramai 16 orang berjaya berlepas ke India kecuali beliau, yang hanya dapat menyertai mereka dua hari kemudian selepas isu disahkan berpunca daripada individu lain yang mempunyai nama dan tarikh lahir sama tetapi nombor kad pengenalan berbeza.

Dalam pembelaannya, pihak kerajaan menyatakan rekod mereka sentiasa dikemas kini dan pegawai bertugas telah bertindak sewajarnya ketika menahan Sumathi.

Sumathi diwakili peguam M Hariharan dan M Manoharan, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim.

 

+ - reset