TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya sendiri pun terperanjat' - MB N Sembilan nafi terlibat isu pembatalan ceramah Ustaz Wadi di Seremban

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 3 Sept - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau serta kerajaan negeri tidak terlibat dalam isu pembatalan ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan berlangsung di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu ini.

Aminuddin berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai program Healing De’ Masjid berkenaan kerana ia bukan anjuran kerajaan negeri.

“Saya memang tidak terlibat dan tidak dimaklumkan langsung mengenai ceramah itu.

“Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah tersebut, saya sendiri pun terperanjat. Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Beliau turut kesal dengan dakwaan yang seolah-olah menggambarkan beliau sebagai pihak yang menghalang program berkenaan.

“Saya tidak tahu pun ada ceramah di Masjid Sendayan, saya pun tidak tahu siapa penceramahnya. Tiba-tiba keluar kenyataan seolah-olah saya yang tidak benarkan.

“Orang akan tanya, kenapa saya terasa? Tapi apabila orang tulis macam itu, takkan saya tak terasa. Ucapan itu pun tak jelas. Kita ini sebagai orang beragama, bila berkata-kata biarlah jelas,” ujarnya.

Aminuddin mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan kenyataan yang tidak tepat sebagai fitnah yang boleh menjejaskan nama baik orang lain.

“Janganlah timbulkan fitnah yang boleh mendatangkan persepsi buruk kepada pihak lain. Hukum fitnah ini sangat besar. Saya boleh maafkan, tiada masalah. Tapi jika ia terus berlaku, ia boleh rosakkan hubungan baik dan silaturahim,” tegasnya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tiada masalah dengan mana-mana program keagamaan, malah beliau sendiri pernah hadir ke ceramah Ustaz Wadi tanpa jemputan rasmi.

“Sebelum ini pun saya pernah hadir ke ceramah Ustaz Wadi di Masjid Sikamat. Saya solat berjemaah, dengar ceramah sampai habis, malah makan bersama.

“Kalau nak buat program, buatlah. Kami di kerajaan negeri sangat mengalu-alukan majlis ilmu. Tapi janganlah ia mendatangkan kesan buruk kepada pihak lain,” katanya.

Menurutnya, kekeliruan yang berlaku mungkin berpunca daripada kegagalan mengurus maklumat dengan baik sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, melahirkan rasa kesal apabila ceramah berkenaan dibatalkan selepas didakwa gagal mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ustaz Wadi dalam satu video di media sosial turut memaklumkan segala persiapan ceramah telah dibuat dengan rapi, malah mendakwa sudah menerima surat tauliah untuk menyampaikan ceramah.

 

+ - reset