TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM perhebat audit keselamatan sekolah berasrama seluruh negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempergiat pelaksanaan audit keselamatan di semua sekolah berasrama penuh, asrama pusat, asrama desa dan asrama sekolah harian di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata sehingga kini sebanyak 110 sekolah berasrama telah melalui audit keselamatan, termasuk 54 sekolah yang diperiksa antara 24 hingga 29 Ogos lalu.

Menurutnya, aspek keselamatan yang diberi perhatian merangkumi jadual bertugas warden, pemantauan rekod aduan, bilangan warden, pencahayaan waktu malam serta keberkesanan kamera litar tertutup (CCTV).

 “Semua sekolah yang diperiksa mematuhi jadual bertugas warden dan melakukan pemantauan rekod aduan.

"Sebanyak 49 daripada 54 sekolah mempunyai bilangan warden yang mencukupi serta pencahayaan waktu malam yang baik, manakala 24 sekolah dilengkapi CCTV berfungsi dengan baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi KPM.

Selain itu, KPM turut melaksanakan program intervensi salah laku buli di sekolah berasrama terpilih, yang meliputi aspek pencegahan, pemulihan, perkembangan dan pengurusan krisis.

Dr Mohd Azam menegaskan bahawa usaha menambah baik pematuhan aspek keselamatan perlu diberi keutamaan, sekali gus memastikan kesejahteraan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara.

“KPM akan terus melaksanakan audit keselamatan melibatkan semua sekolah berasrama di seluruh negara,” katanya. - Media Telus

+ - reset