TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota TUDM hilang rupanya menyorok kerana terlanggar kenderaan pegawai

By
|
Kongsi
image

SERDANG 3 Sept. – Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak 24 Ogos lalu akhirnya ditemui selamat di sebuah unit kondominium di Ampang Jaya, sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Mangsa, Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, dipercayai bersembunyi kerana takut selepas terbabit dalam kemalangan kecil dengan sebuah kenderaan milik pegawai tentera di Subang pada 22 Ogos.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata Muhammad Ammar ditemui bersama teman wanitanya di unit kediaman milik wanita terbabit hasil pemeriksaan pasukan polis berdasarkan maklumat diterima.

“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui berhubung kehilangannya dan tiada kesan kecederaan pada tubuhnya. Polis kini sedang mendapatkan butiran lanjut mengenai punca sebenar dia menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membantu menjejaki Muhammad Ammar.

Sebelum ini, Muhammad Ammar dilaporkan hilang selepas menyertai Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) TUDM Bandar Kinrara. Dia dibenarkan pulang pada 22 Ogos, namun gagal melapor diri semula pada 25 Ogos.

Kehilangannya mula disedari selepas keluarga tidak dapat menghubungi sejak 24 Ogos, diikuti laporan polis oleh keluarga dan pihak tentera. Operasi mencari turut dijalankan di Sungai Kedondong, Batang Kali, lokasi terakhir dia dilihat bersama rakan kem pada 23 Ogos, tetapi gagal menemukannya. - Media Telus

+ - reset