Berita Dunia
Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki dilantik Perdana Menteri Nepal
KATHMANDU 13 Sept – Bekas Ketua Hakim Negara Nepal, Sushila Karki, 73, hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan peralihan sehingga pilihan raya umum pada Mac 2026.
Karki, yang pernah mencatat sejarah sebagai ketua hakim wanita pertama Nepal, mengangkat sumpah di hadapan Presiden Ram Chandra Paudel dalam satu majlis ringkas di istana presiden yang turut dihadiri diplomat serta beberapa bekas pemimpin.
“Saya, Sushila Karki, mengangkat sumpah atas nama negara dan rakyat untuk menunaikan kewajipan saya sebagai perdana menteri,” katanya.
Pelantikannya dibuat selepas gelombang protes antirasuah menggulingkan kerajaan terdahulu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan ratusan cedera, kekacauan terburuk sejak berakhirnya perang saudara dan pemansuhan monarki pada 2008.
Perdana Menteri terdahulu, KP Sharma Oli, meletakkan jawatan Selasa lalu selepas bangunan Parlimen dan pejabat kerajaan dibakar.
Susulan itu, tentera mengambil alih kawalan, menguatkuasakan perintah berkurung bagi mengembalikan ketenteraman.
Pelantikan Karki dipersetujui selepas dua hari rundingan sengit antara Presiden Paudel dan Ketua Tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel, dengan penglibatan wakil gerakan belia yang dikenali sebagai ‘Gen Z’.
Ribuan aktivis muda yang menggerakkan protes menggunakan aplikasi Discord menamakan Karki sebagai calon pilihan mereka.
Selepas upacara angkat sumpah, Parlimen Nepal dibubarkan dan tarikh pilihan raya umum ditetapkan pada 5 Mac 2026.
Karki, yang terkenal dengan pendirian bebasnya, hanya tersenyum dan tunduk sebagai tanda penghargaan tanpa menyampaikan ucapan.
Nepal, dengan populasi 30 juta, kini berdepan masalah ekonomi serius apabila kadar pengangguran belia mencecah 20 peratus, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya AS$1,447 (RM6,084). - Agensi
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
