Berita Dunia
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
WASHINGTON 11 Jun - Iran mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal termasuk kapal tangki minyak dan kapal dagang selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri serangan baharu terhadap beberapa sasaran di negara itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan Iran oleh Markas Khatam al-Anbiya yang memaklumkan laluan laut strategik berkenaan ditutup atas faktor keselamatan susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.
Menurut kenyataan tersebut, sebarang kapal yang cuba melalui Selat Hormuz akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan.
Keputusan itu dibuat susulan apa yang disifatkan Iran sebagai “pencerobohan Amerika” selepas serangan terbaharu AS ke atas beberapa lokasi di wilayah Hormozgan di selatan negara berkenaan.
Markas Pemerintahan Bersama Tertinggi Tentera Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang meneruskan pelayaran melalui laluan strategik tersebut berdepan risiko diserang.
Terdahulu, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Iran untuk hari kedua berturut-turut sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Tehran.
Tidak lama selepas serangan itu, media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di kawasan selatan negara berkenaan berhampiran Selat Hormuz, termasuk di Bandar Abbas, Pulau Qeshm serta bandar Minab dan Sirik.
Sumber Iran mendakwa beberapa lokasi di Qeshm, Kargan dan Sirik terkena serangan peluru berpandu musuh.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas AS bertindak balas terhadap insiden sebuah helikopter Apache miliknya ditembak jatuh, sekali gus mencetuskan semula ketegangan antara kedua-dua negara yang sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April lalu.
Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington akan terus meningkatkan tekanan terhadap Iran sehingga satu perjanjian damai dicapai.
“Kami menyerang mereka semalam dan kami akan menyerang mereka lagi hari ini,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran menuduh AS menyasarkan infrastruktur awam, manakala Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata tindakan ketenteraan itu bertujuan memaksa Tehran kembali ke meja rundingan.
Dalam perkembangan berkaitan, media Iran melaporkan satu delegasi dari Qatar tiba di Tehran bagi membincangkan usaha diplomatik untuk meredakan konflik yang semakin meruncing.
Penutupan Selat Hormuz dijangka memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global memandangkan laluan itu merupakan antara koridor perkapalan terpenting dunia bagi penghantaran minyak dan gas. Harga minyak mentah dunia dilaporkan meningkat susulan pengumuman tersebut.
Berita berkaitan
September 7, 2026, 10:12 am
Letusan Gunung Anak Krakatau: Lapangan terbang ditutup, 170,000 penumpang terkandas
September 3, 2026, 4:36 pm
'Asap tak ada ic, tak kenal sempadan', Menteri Indonesia ulas jerebu di Sarawak
September 3, 2026, 4:24 pm
Operasi robohkan masjid secara 'live' cetus kontroversi di India
August 30, 2026, 10:01 am
Detik cemas sekeluarga terperangkap dalam arus deras banjir di Nepal
August 29, 2026, 9:23 am
Banjir Nepal: Dua rakyat Malaysia berjaya dikesan, angka korban melepasi 500 orang
August 28, 2026, 2:52 pm
Polis tahan 2 suspek curi subang dari telinga mayat mangsa banjir di Nepal
August 27, 2026, 3:48 pm
Nepal terima kifarah? 3 minggu sebelum banjir, masjid diceroboh, al-Quran dibakar
August 27, 2026, 10:38 am
Warga emas tolak, tampar budak lepas gaduh dengan cucu
August 27, 2026, 10:16 am
