Berita Dunia
Biadap! Aktivis Hindutva bawa babi ke kawasan perumahan umat Islam bantah korban kambing sempena Aidiladha di Mumbai
MUMBAI 27 Mei – Ketegangan kaum dilaporkan tercetus di kawasan Mira Road, Mumbai, India selepas sekumpulan aktivis Hindutva didakwa membawa seekor babi ke dalam kawasan perumahan Poonam Cluster Society sebagai bantahan terhadap kambing yang dipelihara keluarga Muslim sempena sambutan Aidiladha.
Memetik laporan The Times of India, insiden itu berlaku beberapa hari sebelum Aidiladha apabila penduduk Muslim di kawasan berkenaan membawa beberapa ekor kambing untuk tujuan ibadah korban.
Tindakan tersebut bagaimanapun dibantah sebahagian penduduk dan kumpulan berhaluan kanan Hindu yang mendakwa haiwan itu tidak sepatutnya ditempatkan di kawasan kediaman bersama.
Menurut laporan media tempatan, pertikaian bermula sejak hujung minggu lalu sebelum menjadi semakin tegang pada Isnin apabila kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di pintu masuk kawasan perumahan tersebut sambil melaungkan slogan keagamaan.
Situasi bertambah panas apabila beberapa individu daripada kumpulan Hindutva dipercayai cuba membawa seekor babi masuk ke kawasan perumahan berkenaan sebagai simbol bantahan terhadap kambing korban yang ditempatkan di situ.
Ada antara mereka mendakwa ia kononnya untuk upacara “Varaha Puja”.
Media India melaporkan polis terpaksa campur tangan selepas berlaku kekecohan dan pergelutan antara dua kumpulan penduduk.
Pihak berkuasa turut mengalihkan haiwan-haiwan terbabit bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Koordinator Vishwa Hindu Parishad (VHP), Harsh Singh mendakwa kehadiran kambing di kawasan perumahan menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk termasuk warga emas.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa berlaku serangan terhadap ahli kumpulan mereka dan laporan polis telah dibuat.
Bagaimanapun, beberapa portal dan pengguna media sosial mendakwa tindakan membawa babi ke kawasan didiami majoriti keluarga Muslim itu sengaja dilakukan untuk menimbulkan provokasi serta menakut-nakutkan komuniti terbabit menjelang Aidiladha.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai netizen mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan mencetuskan kebencian agama.
Antara komen yang tular termasuk, “Ini bukan protes tetapi provokasi terhadap komuniti Muslim,” dan “Hormati agama lain walaupun tidak bersetuju.”
Seorang pengguna media sosial turut menulis, “Membawa babi ke kawasan Muslim hanya untuk menghina mereka adalah tindakan melampau,” manakala seorang lagi berkata, “India perlukan keamanan, bukan politik kebencian.” (Instagram)
Setakat ini, pihak polis Mumbai dilaporkan meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan sensitif sekitar Mira-Bhayander bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini menjelang sambutan Aidiladha.
Berita berkaitan
May 18, 2026, 5:19 pm
Misi Flotilla Gaza: Lima lagi kapal dipintas, keseluruhan tujuh aset kini ditahan
May 11, 2026, 10:19 am
Tak sampai setahun, bekas PM Thailand terlibat rasuah dibebaskan awal dari penjara
May 7, 2026, 3:19 pm
Singapura laksana hukuman rotan terhadap pembuli di sekolah
May 6, 2026, 9:56 pm
Vijay Thalapathy dijangka angkat sumpah KM Tamil Nadu esok
May 6, 2026, 8:57 am
