TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Korban wabak campak di Bangladesh cecah 601 nyawa, lebih 83,000 kes direkodkan

By
|
Kongsi
image

 

DHAKA 4 Jun - Wabak demam campak yang melanda Bangladesh kini meragut 601 nyawa, manakala puluhan ribu lagi kes disyaki direkodkan ketika negara itu bergelut mengekang penularan penyakit berjangkit tersebut.

Menurut Direktorat Awam Perkhidmatan Kesihatan Bangladesh, tujuh lagi kematian berkaitan wabak itu dilaporkan pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang disahkan dan disyaki akibat demam campak meningkat kepada 601 orang sejak pertengahan Mac lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 90 kematian disahkan secara perubatan berpunca daripada demam campak.

Pihak berkuasa kesihatan turut merekodkan lebih 1,250 kes baharu yang disyaki dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes disyaki meningkat kepada 83,763.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 9,191 kes telah disahkan melalui ujian makmal.

Bangladesh yang mempunyai kira-kira 175 juta penduduk berdepan kesukaran untuk mengesahkan jangkitan dengan lebih pantas berikutan kekurangan kit ujian.

Pejabat UNICEF di Dhaka memaklumkan bahawa liputan vaksin yang tidak mencukupi sejak bertahun-tahun, masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan ibu dan kanak-kanak serta kadar penyusuan susu ibu yang rendah antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak dan kelemahan sistem imun kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Bangladesh pula memaklumkan lebih 18.45 juta kanak-kanak telah menerima vaksin menerusi kempen imunisasi yang sedang berlangsung, melepasi sasaran awal sebanyak 18 juta penerima.

Pakar epidemiologi, Dr Mushtaq Hussain berkata usaha vaksinasi perlu diperkukuhkan menerusi perancangan yang lebih teratur bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada program imunisasi.

"Ini adalah program vaksinasi kecemasan dan terdapat kekurangan dari segi reka bentuk pelaksanaannya untuk mencapai setiap pelosok negara.

"Oleh itu, perancangan mikro amat penting bagi mencapai liputan melebihi 95 peratus untuk membendung jangkitan demam campak," katanya.

Beliau yang juga bekas penasihat kepada Institut Epidemiologi, Kawalan dan Penyelidikan Penyakit (IEDCR) berkata kanak-kanak yang sering berpindah-randah atau tinggal di kawasan setinggan di ibu negara memerlukan perhatian khusus, termasuk akses kepada program vaksinasi dan pemakanan.

Hussain turut menekankan kepentingan mengasingkan pesakit yang dijangkiti, khususnya di komuniti miskin dan luar bandar, bagi membantu mengurangkan penularan penyakit.

Daripada jumlah keseluruhan kematian yang disyaki, sebanyak 264 kes dilaporkan di Bahagian Dhaka.

Walaupun wabak itu masih serius, beliau berkata keadaan di ibu negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan kebanyakan kes yang lebih kritikal kini dilaporkan dari luar kawasan Dhaka.

"Hospital di Dhaka mencatatkan jumlah kematian yang lebih tinggi kerana sistem penjagaan kesihatan yang berpusat dan pesakit dari seluruh negara datang ke Dhaka untuk mendapatkan rawatan lanjutan," jelasnya.

Demam campak ialah penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dan kebanyakannya menyerang kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru, keradangan otak dan kematian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau tidak menerima vaksin.

Penyakit itu kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak yang sebenarnya boleh dicegah melalui vaksinasi di seluruh dunia.

+ - reset