TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Jun - Human Rights Watch (HRW) mendakwa kontraktor tentera swasta dari Colombia telah dikerahkan ke Sudan bagi membantu Pasukan Sokongan Pantas (RSF), termasuk ketika kumpulan bersenjata itu menawan bandar El Fasher di Darfur Utara yang menyaksikan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia.

Pendedahan itu terkandung dalam laporan setebal 83 halaman bertajuk From Bogotá to El Fasher: The UAE’s Role in the Deployment of Colombian Fighters and Other Backing to the Rapid Support Forces in Sudan, yang diterbitkan ketika konflik di Sudan terus mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa.

Menurut HRW, kontraktor terbabit dipercayai bertempur bersama RSF yang berperang dengan Angkatan Tentera Sudan sejak April 2023. Organisasi itu mendakwa mempunyai bukti bahawa mereka berada di El Fasher ketika bandar tersebut jatuh ke tangan RSF selepas dikepung selama 18 bulan.

HRW berkata, penawanan El Fasher pada Oktober 2025 disusuli dakwaan pembunuhan besar-besaran, keganasan seksual, kebuluran serta serangan terhadap penduduk awam yang terdedah.

Siasatan badan hak asasi itu mendapati kontraktor Colombia berkenaan dipercayai direkrut oleh Global Security Services Group (GSSG), sebuah syarikat keselamatan berpangkalan di Abu Dhabi, sebelum dihantar ke Sudan bagi menyokong operasi RSF.

Menurut laporan itu, sebahagian daripada mereka melalui beberapa kemudahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk pangkalan di Ghiyathi dan sebuah fasiliti yang dipercayai terletak di Al Wathba, sebelum memasuki Sudan.

Bagaimanapun, UAE berulang kali menafikan sebarang dakwaan bahawa negara itu membekalkan bantuan ketenteraan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik Sudan. Abu Dhabi menegaskan sokongannya hanya tertumpu kepada bantuan kemanusiaan serta usaha mencapai gencatan senjata dan perlindungan orang awam.

HRW berkata penemuannya dibuat berdasarkan temu bual dengan dua kontraktor Colombia yang pernah berkhidmat di Sudan, seorang bekas pekerja GSSG, lapan penduduk El Fasher serta beberapa sumber lain termasuk bekas pegawai tentera Colombia.

Selain itu, organisasi tersebut turut meneliti rekod korporat dan dokumen rasmi serta mengesahkan gambar dan video yang dimuat naik dalam talian, termasuk kandungan yang diterbitkan sendiri oleh kontraktor terbabit.

Seorang kontraktor yang ditemu bual mendakwa pasportnya tidak dicop ketika tiba di UAE sebelum dipindahkan ke pangkalan Ghiyathi untuk menjalani latihan yang dikendalikan warga Emiriah.

HRW turut mengenal pasti sekurang-kurangnya empat lagi kontraktor yang singgah di UAE sebelum dihantar ke Sudan berdasarkan bahan visual yang telah disahkan.

Menurut laporan itu, bukti awam pertama mengenai kehadiran pejuang Colombia di Sudan muncul pada November 2024 apabila satu konvoi yang memasuki Sudan dari Libya dipintas oleh Pasukan Bersama Gerakan Bersenjata yang bersekutu dengan Angkatan Tentera Sudan.

Dokumen pengenalan diri Colombia ditemui dalam konvoi berkenaan bersama peluru mortar 81 milimeter buatan Bulgaria yang menurut laporan media antarabangsa didakwa berasal daripada stok angkatan bersenjata UAE.

HRW berkata peluru tersebut antara peralatan ketenteraan yang dipercayai sampai kepada RSF dengan melanggar syarat pengguna akhir, berdasarkan penyelidikan yang turut melibatkan Amnesty International dan France 24.

Laporan itu juga menyatakan video yang disahkan menunjukkan kontraktor tentera swasta asing dipercayai warga Colombia bertempur di El Fasher ketika bandar itu ditawan RSF pada penghujung 2025.

Enam saksi yang ditemu bual HRW mendakwa melihat pejuang asing berada di lokasi pembunuhan beramai-ramai yang dikaitkan dengan RSF. Mereka dilaporkan memakai kelengkapan ketenteraan lengkap termasuk topi keledar, jaket kalis peluru dan pelindung lutut.

Dalam perkembangan lain, seorang kontraktor Colombia mendakwa beliau melatih rekrut RSF di beberapa kem sekitar Nyala, Darfur Selatan pada April 2025, termasuk individu yang disifatkannya sebagai "kanak-kanak kecil".

HRW menegaskan penggunaan kanak-kanak dalam konflik bersenjata merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan itu, GSSG ditubuhkan pada 2016 oleh Ahmed Mohammed al-Humairi yang ketika itu merupakan Setiausaha Agung Mahkamah Presiden UAE sebelum pegangan syarikat berkenaan dipindahkan kepada rakan perniagaannya, Mohamed Hamdan al-Zaabi.

HRW mendakwa syarikat itu sebelum ini menggambarkan dirinya sebagai syarikat keselamatan swasta pertama di UAE yang memperoleh lesen keselamatan bersenjata dan menyediakan perkhidmatan kepada beberapa agensi utama kerajaan negara berkenaan.

Badan hak asasi itu berkata pihaknya telah menghubungi GSSG, pihak berkuasa UAE dan beberapa pihak lain yang dinamakan dalam laporan tersebut, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Sehubungan itu, HRW menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan Panel Pakar mengenai Sudan menyiasat peranan syarikat tersebut dan kepimpinannya berhubung dakwaan sokongan kepada RSF, termasuk kemungkinan pelanggaran embargo senjata PBB ke atas Darfur yang berkuat kuasa sejak 2004.

Organisasi itu turut menyeru kerajaan serta badan serantau menyokong siasatan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang dipercayai terlibat dalam pemindahan pejuang dan peralatan ketenteraan ke Darfur.

Menurut HRW, sebarang bentuk bantuan luar kepada kumpulan bersenjata yang dituduh melakukan pelanggaran serius hak asasi manusia berpotensi memanjangkan konflik dan meningkatkan penderitaan penduduk awam yang terperangkap dalam peperangan.

+ - reset