TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama susulan warga kota pulang dari cuti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Beberapa laluan di lebuh raya utama negara dilaporkan sesak petang ini apabila orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti panjang sempena sambutan Hari Malaysia.

Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), trafik bergerak perlahan arah utara membabitkan laluan dari R&R Jejantas Ayer Keroh ke Simpang Ampat serta dari Pedas Linggi menuju ke Port Dickson. Keadaan sama turut berlaku di bahagian selatan dari Sungai Petani utara ke Sungai Petani selatan.

PLUS memaklumkan, kemalangan di Kilometer 403.4 arah selatan antara Tanjung Malim dan Lembah Beringin sekitar 1.42 tengah hari menyebabkan lorong kanan dan kecemasan terhalang. Bagaimanapun, laluan dibuka semula kira-kira 15 minit kemudian, namun aliran trafik kekal perlahan.

Selain itu, kesesakan turut dilaporkan di beberapa lokasi lain termasuk laluan Jasin ke Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Senawang ke Port Dickson serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.

Sementara itu, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) juga tidak terkecuali apabila berlaku pertambahan jumlah kenderaan. Antara laluan paling terjejas ialah dari Bentong ke Lentang, Bukit Tinggi ke Genting Sempah serta sehingga ke Plaza Tol Gombak.

Di arah timur LPT1, kesesakan sepanjang lebih satu kilometer dilaporkan dari Kilometer 78.4 ke Plaza Tol Karak.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan merujuk kemas kini trafik terkini melalui saluran rasmi pengendali lebuh raya termasuk akaun X @plustrafik (PLUS Malaysia), @LPTTrafik (LPT1) dan @llmtrafik (Lembaga Lebuhraya Malaysia). - Media Telus

+ - reset