TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UPSI serah RM420,000 kepada waris pelajar terlibat nahas bas Gerik

By
|
Kongsi
image

IPOH 16 Sept. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan berjumlah RM420,000 kepada keluarga 42 pelajar yang terkorban dan cedera dalam tragedi nahas bas di Gerik pada 9 Jun lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, setiap waris menerima sumbangan sebanyak RM10,000 yang diagihkan menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik.

“Tabung ini diwujudkan sebagai usaha solidariti universiti bersama komuniti dalam membantu mangsa dan keluarga yang terkesan dengan tragedi tersebut. Sebelum ini, lebih RM1.7 juta telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Pasir Puteh, Kelantan semalam dan dihadiri lebih 100 ahli keluarga, pelajar serta waris mangsa.

Norkhalid menzahirkan rasa kagum dengan semangat serta ketabahan keluarga pelajar yang berdepan kehilangan besar itu.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dan memberi dorongan kepada pelajar lain untuk terus menimba ilmu walaupun berdepan ujian getir,” ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus Tanjong Malim terbabas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik. Seramai 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta empat penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV). - Media Telus

+ - reset