TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk hidupkan kegiatan Pendekar Madani

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 16 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara menggerakkan penubuhan kegiatan Pendekar Madani bagi melahirkan lebih ramai pesilat muda, sekali gus mengangkat martabat bangsa.

Beliau berkata, inisiatif itu akan digerakkan melalui Kementerian Pendidikan sebagai wadah penyatuan semangat anak muda, selain mengembangkan seni mempertahankan diri yang berakar daripada budaya bangsa.

“Kita akan pastikan semua sekolah mendukung semangat Pendekar Madani ini. Seni silat bukan untuk bermegah atau angkuh, tetapi untuk melatih disiplin, akhlak dan adab anak bangsa.

“Seterusnya, kegiatan ini akan diperluas ke politeknik, IPT dan IPG sebagai platform menyatukan belia dengan semangat yang luhur,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini hari ini, yang menghimpunkan lebih 10,000 pesilat.

Pada majlis itu, Anwar ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong ‘Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti’ oleh Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi menggerakkan kegiatan Pendekar Madani di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan silat berperanan membentuk generasi muda yang berdisiplin, berakhlak mulia, menolak kezaliman, penindasan dan budaya buli.

“Hebatnya orang Melayu kerana ada semangat dan disiplin, tahu adab dan akhlak, menghormati sesama bangsa, hormat pada bukan Melayu dan menjaga negara ini dengan aman serta adil untuk semua,” katanya.

 

+ - reset