Berita Berita
Enam daerah di Sabah diisytihar darurat, jumlah mangsa banjir, tanah runtuh lebih 2,500 orang

KUALA LUMPUR 16 Sept – Jumlah mangsa bencana di Sabah terus meningkat kepada 2,533 orang melibatkan banjir, kebakaran dan tanah runtuh, menurut laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Setakat pagi ini, seramai 2,452 mangsa daripada 652 keluarga terpaksa dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir. Daerah Penampang merekodkan jumlah tertinggi dengan 910 mangsa, diikuti Membakut (611) dan Putatan (456).
“Secara keseluruhan, jumlah mangsa bencana di Sabah adalah 2,533 orang daripada 668 keluarga dengan 20 PPS diaktifkan,” kata NADMA dalam satu kenyataan.
Selain banjir, kebakaran besar di Tawau menyebabkan 59 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan, manakala tanah runtuh di Papar melibatkan 21 mangsa daripada lima keluarga.
Enam daerah diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) iaitu Beaufort, Penampang, Tawau, Papar, Membakut dan Putatan.
Setakat ini, 13 kematian direkodkan akibat tanah runtuh – tujuh di Kota Kinabalu, lima di Papar dan satu di Penampang.
Menurut NADMA, paras air Sungai Moyog di Penampang masih pada tahap amaran manakala Sungai Padas di Keningau pada aras waspada, namun kedua-duanya menunjukkan trend menurun.
Negara kini berada di penghujung Monsun Barat Daya dan keadaan angin dijangka menggalakkan pembentukan awan konvektif di timur Sabah sehingga Khamis, berpotensi membawa ribut petir serta hujan lebat berpanjangan.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut mengenal pasti lapan cerun kritikal berisiko dilanda banjir dan tanah runtuh, termasuk di Penampang dan Papar, dengan cadangan pengosongan beberapa kediaman di kawasan terlibat.
Seramai 652 anggota daripada pelbagai agensi kini dikerahkan bagi operasi menyelamat dan pemantauan, terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (366), Angkatan Pertahanan Awam (160), Jabatan Bomba dan Penyelamat (55), Angkatan Tentera Malaysia (35) dan RELA (36).
Berita berkaitan
September 16, 2025, 11:52 pm
Fadhlina selesai tebus bantuan SARA RM100, sumbang semula kepada keluarga memerlukan di Nibong Tebal
September 16, 2025, 11:37 pm
Mujur tersangkut pada pokok, 12 pelancong Malaysia cedera van terjunam dalam gaung di Chennai
September 16, 2025, 9:29 pm
Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk hidupkan kegiatan Pendekar Madani
September 16, 2025, 8:24 pm
Polis siasat 'influencer' anjur majlis aqiqah ala istana, salah guna lambang diraja
September 16, 2025, 4:32 pm
Penunggang motosikal maut selepas diseret 40 meter dalam nahas di Bera
September 16, 2025, 4:27 pm
Amaran ribut petir dan hujan lebat di empat negeri hingga 6 petang
September 16, 2025, 4:22 pm
Tiga lelaki ditahan di Mersing, bunuh, sumbat bangkai harimau belang dalam but kereta
September 16, 2025, 4:21 pm