TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

India anjur solidariti besar-besaran buat kali pertama kecam kekejaman Israel ke atas Palestin di Chennai

By
|
Kongsi
image

 

CHENNAI, 20 Sept – Ribuan rakyat termasuk artis, aktivis, pertubuhan politik serta badan masyarakat sivil berhimpun di Chennai semalam bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan mengecam kekejaman Israel di Gaza.

Himpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh Periyar Followers Federation itu turut mendapat sokongan pelbagai parti politik, pertubuhan sosial serta persatuan Islam di seluruh Tamil Nadu.

Antara tokoh yang hadir ialah Ahli Parlimen Thol. Thirumavalavan (pemimpin Viduthalai Chiruthaigal Katchi), Ahli Dewan Undangan Negeri Thaniyarasu, Presiden Manithaneya Makkal Katchi Jawahirullah, Koordinator May 17 Movement Thirumurugan Gandhi, pelakon Sathyaraj dan Prakash Raj, serta pengarah filem Vetrimaaran.

Kritikan Terhadap Israel, AS dan Kerajaan India

Dalam ucapannya, pelakon terkenal Prakash Raj menegaskan bahawa himpunan tersebut adalah suara kemanusiaan.

"Jika bercakap menentang ketidakadilan dianggap politik, maka ya - ini adalah politik, dan kita akan terus bersuara,” katanya.

Beliau turut mengkritik Perdana Menteri India, Narendra Modi, kerana berdiam diri terhadap isu Palestin.

“Hari ini, kezaliman terhadap Palestin bukan hanya tanggungjawab Israel semata-mata. Amerika Syarikat turut bersalah.

Diamnya Modi juga adalah satu bentuk pengkhianatan,” ujarnya.

Sementara itu, aktor Sathyaraj menyifatkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza sebagai “tidak berperikemanusiaan dan melanggar nilai kemanusiaan sejagat”.

Beliau menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai tersebut.

“Setiap kali rakyat bangkit menuntut pembebasan, pembunuhan beramai-ramai berlaku. Saudara Tamil Eelam kita juga dibunuh dengan kejam bukan sahaja pejuang, malah orang awam tidak bersalah. Kini perkara yang sama berlaku kepada rakyat Palestin, dengan sokongan kuasa besar dunia,” katanya.

‘Genosid yang Dirancang’

Pengarah tersohor Vetri Maaran pula menyifatkan kekejaman Israel di Gaza sebagai “genosid yang dirancang”.

Beliau menegaskan bahawa pengeboman ke atas sekolah dan hospital serta kemusnahan pokok zaitun jelas menunjukkan usaha sistematik memusnahkan kehidupan rakyat Palestin.

“Seorang daripada lima penduduk mati kebuluran, manakala seorang daripada lima kanak-kanak mati akibat kekurangan zat makanan. Gaza telah dijadikan wilayah kelaparan. Kewajipan kita semua adalah mengutuk genosid ini,” katanya.

Ahli Parlimen Thol. Thirumavalavan pula menegaskan bahawa semangat politik Periyar adalah memperjuangkan golongan tertindas.

Beliau mengutuk imperialisme Amerika dan Zionisme Israel, sambil menegaskan bahawa penubuhan Israel adalah hasil strategi penjajahan British.

“Di mana-mana sahaja berlaku konflik sama ada di Palestin, Sri Lanka atau Ukraine—Amerika pasti ada di belakangnya. Seperti mana mereka melabel LTTE sebagai pengganas, kini mereka melabel Hamas pula, walhal ia adalah gerakan pembebasan,” katanya.

Thirumavalavan turut mengkritik PBB kerana mengambil masa dua tahun untuk mengiktiraf pembunuhan di Gaza sebagai genosid, namun sehingga kini masih tidak mengiktiraf tragedi Mullivaikkal di Sri Lanka.

Beliau menggesa India menyatakan pendirian jelas menentang Israel dan mempertahankan hak rakyat Palestin.

Desakan Tindakan Antarabangsa

Koordinator May 17 Movement, Thirumurugan Gandhi, pula menegaskan bahawa apabila PBB mengiktiraf sesuatu negara melakukan genosid, negara-negara lain sepatutnya segera menghantar pasukan ketenteraan bagi melindungi mangsa.

“Namun dalam kes Palestin, tiada satu negara pun yang berbuat demikian. Seperti mana India berdiam diri ketika genosid di Eelam, kini sekali lagi ia berdiam diri terhadap Palestin,” katanya.

Beliau menolak dakwaan bahawa Hamas adalah kumpulan pengganas, sebaliknya menegaskan ia sebuah gerakan pembebasan.

“Israel harus diisytiharkan sebagai negara pelaku genosid, manakala Palestin mesti diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka,” tegasnya. - Agensi

 

+ - reset