Berita Hiburan
Mahkamah sahkan Siti Jamumall, Aiman bercerai talak tiga, tak boleh rujuk
SHAH ALAM 22 Sept - Pempengaruh media sosial, Siti Jamumall, sah bercerai talak tiga dengan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus atau lebih dikenali sebagai ‘Aiman Tak Kesah’, selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin mengesahkan lafaz cerai yang dibuat dalam siaran langsung aplikasi TikTok, empat bulan lalu.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar, dalam keputusannya berkata, siasatan mendapati Khairul Aiman, 22, selaku plaintif telah melafazkan talak satu kali pertama pada 17 Mac terhadap Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26.
Beliau menjelaskan, plaintif kemudian melafazkan cerai sekali lagi ketika bersiaran langsung di aplikasi tersebut pada jam 1.31 pagi, 15 Mei lalu, sebelum melafazkan kali ketiga kepada defendan dalam tempoh 15 hingga 18 saat selepas itu.
“Lafaz ketiga tersebut menyentuh perkataan ‘aku orang kampung sanggup dipijak tapi sekarang, aku tak boleh diam’. Mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga,” katanya.
Menurut Fairus, mahkamah mentafsirkan talak pertama dan kedua sebagai satu talak rajie, manakala lafaz ketiga itu dikira talak bain kubra yang sah.
“Mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Defendan diarahkan menjalani tempoh edah sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan di Perlis dibatalkan,” katanya.
Peguam syarie yang mewakili plaintif, Mohd Nooraizan Md Idros, memaklumkan anak guamnya akur dengan keputusan tersebut namun masih memikirkan anak sulung mereka yang baru dilahirkan.
“Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu dan saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari. Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula,” katanya.
Terdahulu pada 15 Mei lalu, pasangan itu berpisah buat kali kedua apabila Khairul Aiman melafazkan cerai secara langsung di TikTok menerusi akaun @Sitijamumall. Lafaz tersebut diulang tiga kali sebelum siaran dihentikan.
Ketika itu, Khairul Aiman berkata: “Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court.”
Namun, kedua-duanya kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat. Pasangan itu juga dilaporkan pernah bercerai kali pertama pada 17 Mac lalu di luar mahkamah.
Untuk rekod, pasangan tersebut bernikah pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Siti yang sebelum ini berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3.
Siti Jamumall baru sahaja selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada 12 September lalu.
Berita berkaitan
March 16, 2026, 10:58 am
Aedy Ashraf ambil risiko besar terbitkan Tarung: Unforgiven
February 4, 2026, 10:52 am
Tarian penonton cetus kontroversi, penganjur Makar Fest XL tampil mohon maaf terbuka
January 27, 2026, 12:33 pm
Nora Ariffin tarik balik tuntutan cerai, pilih teruskan perkahwinan
January 23, 2026, 9:15 am
Fazura umum bersara daripada drama televisyen tempatan
January 20, 2026, 10:22 am
Brooklyn Beckham putus hubungan dengan keluarga, dakwa membesar dalam pembohongan
January 14, 2026, 2:42 pm
Filem ‘Ozora’ angkat kisah benar penganiayaan David Ozora di Jakarta
December 28, 2025, 4:39 pm
Rasa seperti renjatan elektrik di dada ketika latihan - Remy Ishak
December 18, 2025, 11:58 am
Kamal Adli tetap pertahankan rumah tangga, enggan buat kenyataan di luar mahkamah
December 12, 2025, 11:22 am
Sissy Imann sah bergelar isteri Dr Zamir Hilman dalam majlis akad nikah di Putrajaya
December 2, 2025, 6:30 pm
