Berita Dunia
Taufan Super Ragasa landa Hong Kong, 14 terbunuh di Taiwan
HONG KONG 24 Sept – Taufan Super Ragasa, siklon tropika paling kuat di dunia setakat tahun ini, melanda Hong Kong semalam selepas meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa di Taiwan.
Angin kencang berkelajuan sehingga 200 kilometer sejam (km/j) dan hujan lebat menyebabkan bandar raya itu lumpuh, dengan lebih 700 penerbangan dibatalkan serta jalan-jalan utama lengang selepas arahan dikeluarkan agar orang ramai kekal di dalam rumah.
Jabatan Kajicuaca Hong Kong memberi amaran beberapa kawasan pesisir yang sebelum ini dilindungi kini berisiko dilanda ombak besar, manakala paras laut dijangka naik setinggi empat meter, menyamai bencana Taufan Hato (2017)dan Taufan Mangkhut (2018) yang pernah mengakibatkan kerugian berbilion dolar.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan isyarat taufan No. 10, amaran tertinggi, sekali gus menutup perkhidmatan pengangkutan serta perniagaan.
Sebanyak 49 pusat perlindungan sementara dibuka dan 727 orang dilaporkan sudah berlindung di situ.
Di wilayah Guangdong, China, lebih 770,000 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala di Macau, amaran taufan No. 10 turut diaktifkan.
Sebelum ini, Ragasa membadai utara Filipina pada Isnin sebelum melanda timur Taiwan pada Selasa.
Di Hualien, 14 maut apabila sebuah tasik takungan buatan akibat tanah runtuh pecah, melepaskan kira-kira 60 juta tan air yang membanjiri pekan Guangfu.
Walaupun bandar raya ditutup, Bursa Saham Hong Kong kekal beroperasi selepas dasar baharu yang diperkenalkan hujung tahun lalu membolehkan urus niaga diteruskan tanpa mengira keadaan cuaca. — REUTERS
Berita berkaitan
June 11, 2026, 10:47 am
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
June 10, 2026, 9:44 pm
Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW
June 10, 2026, 6:26 pm
Harga runcit petrol RON95, diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026
June 5, 2026, 2:48 pm
Brunei rombak kabinet, Putera Abdul Mateen dilantik Menteri Hal Ehwal Luar
June 4, 2026, 8:56 am
Korban wabak campak di Bangladesh cecah 601 nyawa, lebih 83,000 kes direkodkan
May 18, 2026, 5:19 pm
