Berita Dunia
Sukarelawan Global Sumud Flotilla dipaksa melutut lima jam, diikat dan dinafikan akses peguam
KUALA LUMPUR 5 Okt – Kumpulan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel dilapor dipaksa melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama sekurang-kurangnya lima jam selepas beberapa peserta melaungkan slogan “Bebaskan Palestin”.
Pendedahan itu dibuat oleh Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang memaklumkan pihaknya berjaya menemui seramai 331 sukarelawan di Pelabuhan Ashdod dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut kenyataan badan itu, kesemua sukarelawan kini berdepan perbicaraan di hadapan pihak berkuasa imigresen Israel, namun beberapa peserta dipercayai telah melalui proses awal tanpa khidmat nasihat undang-undang kerana peguam ADALAH pada peringkat awal tidak dibenarkan mengakses mereka.
“Hak peserta dicabuli secara sistematik sepanjang proses ini. Selain dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan, mereka juga dinafikan hak mendapatkan peguam, yang jelas melanggar prinsip keadilan, perbicaraan adil dan hak asasi manusia,” menurut kenyataan ADALAH.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa ketika lokasi sukarelawan tidak diketahui, peguam dibiarkan menunggu kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod tanpa dimaklumkan bahawa pihak imigresen telah mula memproses dan menjalankan perbicaraan terhadap tahanan.
Walaupun beberapa kali dihalang masuk oleh polis Israel, peguam ADALAH akhirnya berjaya menemui kesemua 331 peserta dan memberikan khidmat nasihat undang-undang kepada mereka.
“Beberapa peserta melaporkan dikasari, diancam dan diganggu, termasuk dikejut secara kasar setiap kali cuba tidur,” tambah kenyataan itu.
Selepas itu, pihak berkuasa Israel memindahkan tahanan ke Penjara Ketziot di Naqab dan meneruskan perbicaraan tribunal tanpa memaklumkan pasukan peguam serta tanpa kehadiran wakil undang-undang mereka.
ADALAH kini hadir dalam perbicaraan tribunal bagi menyemak semula perintah tahanan dan sedang mengambil tindakan undang-undang untuk mengenal pasti semua peserta, selain menggesa pembebasan segera daripada tahanan haram serta pemulangan barangan peribadi dan bekalan bantuan kemanusiaan mereka.
Dalam kenyataan sama, ADALAH turut mengecam tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang hadir ke lokasi penahanan sukarelawan semalam sebagai cubaan menghina dan menakut-nakutkan peserta misi kemanusiaan itu.
“Peserta flotilla dirakam dan dieksploitasi dalam tindakan kawalan yang menjatuhkan maruah. Ia disertai dengan kempen fitnah oleh pegawai Israel yang secara palsu melabelkan peserta flotilla sebagai pengganas bagi memperlekeh misi keamanan mereka dan menghalalkan penindasan,” katanya.
ADALAH menegaskan keseluruhan tindakan Israel terhadap flotilla itu tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa kerana pintasan kapal dilakukan di perairan antarabangsa serta melibatkan penculikan secara terang-terangan.
“Sekatan terhadap Gaza itu sendiri tidak sah dan merupakan satu bentuk hukuman kolektif yang menjadi alat utama dalam pembunuhan beramai-ramai, termasuk penggunaan kebuluran secara sengaja sebagai kaedah peperangan,” tegasnya.
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
