Berita Sukan
FIFA kemuka bukti dokumen palsu dalam pendaftaran tujuh pemain warisan Malaysia
ZURICH 7 Okt - Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen sokongan yang dikemukakan FAM bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit.
“Jawatankuasa ingin menegaskan bahawa sijil kelahiran asal menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumen yang diserahkan,” kata Palacio dalam laporan berkenaan.
Antara kes utama yang menjadi perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel, apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal, di mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
Selain itu, semakan FIFA mendapati datuk Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, manakala datuk Facundo Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk kepada Rodrigo Holgado pula disahkan lahir di Buenos Aires, sementara nenek Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, dan datuk João Figueiredo dari Abre Campo, Brazil.
FAM didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi, menyebabkan badan itu dikenakan denda RM1.8 juta. Setiap pemain terbabit turut dikenakan denda RM11,000 serta gantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Laporan FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.
“Pengakuan ini menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian prosedur verifikasi FAM,” menurut laporan itu.
Keputusan FIFA itu dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027, selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa keputusan perlawanan Malaysia berpotensi dibatalkan dan mata kemenangan diserahkan kepada pasukan lawan sekiranya hukuman kekal.
FAM diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari bagi mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Keputusan itu sekali gus menjawab persoalan penyokong bola sepak tempatan yang sebelum ini tertanya-tanya sebab sebenar tindakan disiplin dikenakan walaupun pemain-pemain terbabit sudah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu.
Berita berkaitan
October 29, 2025, 11:26 am
Wan Rohaimi puas hati prestasi Penang FC walau tewas kepada JDT
October 27, 2025, 10:01 am
Mentaliti juara kunci JDT benam DPMM FC 10-0 – Xisco Munoz
October 26, 2025, 11:55 am
TMJ tegaskan kritikan terhadap dirinya dalam bola sepak bukan perkara baharu
October 21, 2025, 10:50 am
JDT sasar kemenangan pertama bertemu Chengdu Rongcheng dalam aksi ACLE
October 10, 2025, 7:32 am
Harimau Malaya benam Laos 3-0, kekal rekod sempurna
October 7, 2025, 11:43 am
FAM perlu jelaskan isu pendedahan FIFA segera – Hannah Yeoh
October 7, 2025, 8:59 am
FAM anggap laporan FIFA tidak tepat, akan kemuka rayuan rasmi
October 1, 2025, 3:04 pm
Ultras Malaya tuntut FAM dedah maklumat pemain warisan digantung Fifa
October 1, 2025, 1:33 pm
