Berita Dunia
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
GAZA 9 Okt. - Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang merangkumi gencatan senjata dan perjanjian tebusan, sekali gus membuka peluang menamatkan perang berdarah dua tahun di Asia Barat.
Persetujuan itu dicapai sehari selepas ulang tahun kedua serangan lintas sempadan Hamas yang mencetuskan serangan balas besar-besaran oleh Israel ke atas Gaza.
Perjanjian berkenaan dimeterai hasil rundingan tidak langsung di Mesir, yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju terhadap peringkat awal daripada 20 perkara dalam pelan damai Trump untuk wilayah Palestin tersebut.
Jika dilaksanakan sepenuhnya, pelan itu bakal mendekatkan kedua-dua pihak ke arah penamatan konflik, berbanding mana-mana inisiatif terdahulu. Konflik berpanjangan itu juga telah meningkatkan ketegangan serantau, melibatkan Iran, Yaman dan Lubnan, selain mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa.
Namun, pengumuman Trump masih tidak disertakan butiran terperinci, menimbulkan kebimbangan kemungkinan pelan itu gagal seperti rundingan damai terdahulu.
“Saya amat berbangga mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani Fasa Pertama Pelan Damai kami. Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat, dan Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama menuju keamanan yang kekal,” kata Trump menerusi laman Truth Social.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula berkata pihaknya akan membawa pulang semua tebusan yang masih ditahan Hamas dan memanggil mesyuarat kabinet khas Khamis ini bagi meluluskan perjanjian tersebut.
Sementara itu, Hamas mengesahkan pihaknya telah bersetuju dengan pelan berkenaan, termasuk penarikan keluar tentera Israel dari Gaza serta pertukaran tebusan dan tahanan.
Bagaimanapun, kumpulan itu menyeru Trump dan negara penjamin supaya memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui.
Trump sebelum ini memaklumkan bahawa perjanjian itu hampir dimuktamadkan dan beliau dijangka melawat Mesir hujung minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
