Berita Berita
Belanjawan 2026: HRD Corp terajui latihan TVET bernilai RM3 bilion

KUALA LUMPUR, 10 Oktober — Syarikat Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) muncul antara penerima peruntukan terbesar dalam usaha kerajaan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2026, dengan dana latihan berjumlah RM3 bilion disediakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor masa depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, HRD Corp akan menawarkan tiga juta peluang latihan yang memberi tumpuan kepada sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga, sejajar dengan keperluan industri berteraskan inovasi serta kemahiran masa depan.
“Latihan di bawah HRD Corp akan memastikan lebih ramai tenaga kerja Malaysia bersedia mengisi keperluan industri baharu yang berasaskan teknologi dan daya saing global,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan keseluruhan TVET kepada RM7.9 bilion, berbanding RM7.5 bilion tahun sebelumnya, bagi memperluas akses latihan dan pendidikan kemahiran di seluruh negara.
Beliau berkata, Majlis TVET Negara diperuntukkan RM45 juta antaranya untuk menerapkan pengetahuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti.
Selain itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menyalurkan RM650 juta bagi membiayai latihan untuk lebih 25,000 pelatih, khusus dalam bidang Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
Sementara itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan melaksanakan Program Akademi Dalam Industridengan peruntukan RM34 juta, bagi melatih serta menempatkan tenaga kerja tempatan menggantikan pekerja asing berkemahiran rendah.
GiatMara pula akan menawarkan latihan kepada lebih 13,000 peserta golongan tumpuan termasuk pekerja gig, manakala Kolej Komuniti menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk kumpulan rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli.
Dalam masa sama, kemudahan institusi TVET di seluruh negara akan dinaik taraf, termasuk pembinaan hangar baharu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang, serta pembinaan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi memperkukuh latihan bidang maritim dan ekonomi biru.
Anwar turut mengumumkan pembinaan sebuah kolej vokasional baharu di Sabah bagi memperluas capaian latihan kemahiran di kawasan luar bandar.
“Peluang pendidikan dan latihan TVET akan terus ditingkatkan khususnya bagi menyokong sektor berkeutamaan tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan negara,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
October 10, 2025, 6:03 pm
Penjawat awam gred 56 ke bawah terima RM500 Bantuan Khas Kewangan, pesara dapat RM250
October 10, 2025, 5:59 pm
9 juta penerima STR bakal terima bantuan tambahan sehingga RM1,200 setahun melalui SARA
October 10, 2025, 5:43 pm
Diskaun tol 50 peratus dua hari sempena Deepavali – Anwar
October 10, 2025, 5:36 pm
STR Fasa 4 diawalkan, dibayar mulai 18 Oktober – Anwar
October 10, 2025, 5:12 pm
Semua negeri dapat manfaat RMK13 – Anwar
October 10, 2025, 5:02 pm
DBKL peruntuk RM500 juta naik taraf kemudahan penjaja dan PPR
October 10, 2025, 4:56 pm
Kerajaan kutip RM15.5 bilion hasil rampasan dan penalti sejak 2024
October 10, 2025, 4:51 pm
Kerajaan peruntuk RM1 bilion bagi perluas Ikhtiar Madani Untuk Rakyat
October 10, 2025, 4:36 pm