Berita Dunia
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
NUSEIRAT, 11 Oktober – Setelah lebih dua tahun keganasan dan kebuluran melanda Semenanjung Gaza, Israel akhirnya mula melaksanakan gencatan senjata serta menarik balik tenteranya dari wilayah berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada puluhan ribu rakyat Palestin yang keletihan untuk kembali ke kediaman mereka yang musnah.
Tentera Israel memaklumkan, pasukannya telah menghentikan semua operasi tembakan sejak tengah hari sebagai langkah awal pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tahanan.
Tiga jam kemudian, Pentagon mengesahkan Israel telah menamatkan fasa pertama penarikan balik tenteranya, selaras dengan pelan damai yang digariskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Gencatan syaratkan pembebasan tahanan Hamas dalam 72 jam
Mengikut pelan berkenaan, Hamas dikehendaki membebaskan semua tahanan yang masih berada di Gaza dalam tempoh 72 jam, yang dijangka tamat esok.
Bagaimanapun, tentera Israel masih menguasai sekitar 53 peratus wilayah Palestin, dan rakyat dinasihatkan mengelak daripada memasuki kawasan operasi tentera semasa mereka kembali ke Semenanjung Gaza.
Israel turut mengeluarkan senarai 250 tahanan Palestin yang akan dibebaskan, bersama 1,700 rakyat Gaza yang ditahan sejak serangan Hamas mencetuskan konflik pada 7 Oktober 2023.
Rakyat Palestin pulang, rumah tinggal runtuhan
Seiring dengan pengumuman gencatan senjata, ratusan ribu penduduk Palestin mula bergerak dari Khan Yunis menuju ke utara Gaza, menelusuri kawasan yang kini hanya tinggal runtuhan.
Beberapa saksi memaklumkan, dua lelaki dilihat menarik gulungan kanvas di tengah-tengah lautan manusia yang menuju ke Bandar Gaza melalui ‘Koridor Netzarim’ dari Nuseirat, sambil pekerja penyelamat mula mengutip mayat-mayat mangsa dari bawah runtuhan sebaik gencatan berkuat kuasa.
EU buka semula sempadan Rafah
Sementara itu, Misi Kesatuan Eropah (EU) di sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir mengumumkan akan membuka semula laluan pejalan kaki pada 14 Oktober, menurut kerajaan Itali.
Di bawah perjanjian gencatan senjata Trump, Hamas akan menyerahkan 47 tahanan yang masih hidup serta yang meninggal dunia daripada 251 individu diculik dalam serangan dua tahun lalu, termasuk mayat seorang tahanan yang ditahan sejak 2014.
Tekanan antarabangsa sokong pelan damai Trump
Beberapa pemimpin dunia termasuk dari Britain, Perancis dan Jerman turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar menyokong pelan damai berkenaan.
Trump pula mengesahkan akan bertemu pemimpin Mesir pada Isnin ini bagi membincangkan masa depan Gaza, sambil menyatakan keyakinan bahawa gencatan senjata ini bakal menjadi permulaan kepada perdamaian lebih luas di Asia Barat.
Hamas dakwa berjaya gagalkan matlamat Israel
Dalam satu kenyataan bersama, Hamas, Jihad Islam dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP)menyifatkan gencatan senjata ini sebagai kejayaan besar dalam menangkis matlamat Israel untuk mengusir dan memindahkan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata sekitar 200,000 rakyat Palestin telah kembali ke utara Gaza sejak gencatan berkuat kuasa.
“Tentera Israel dan kenderaan perisai sedang berundur dari kedudukan hadapan di Bandar Gaza dan Khan Yunis,” katanya. - AFP
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
