Berita Dunia
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
TOKYO 21 Okt - Ahli politik konservatif, Sanae Takaichi, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun selepas meraih sokongan majoriti dalam pengundian Dewan Rendah Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen berusia 64 tahun itu menerima 237 undi daripada 465 kerusi, sekaligus menewaskan calon lain dalam pusingan pertama pengundian. Takaichi secara rasmi memegang jawatan selepas menghadap Maharaja Jepun pada petang ini.
Pelantikannya turut menandakan peralihan kepimpinan baharu selepas bekas Perdana Menteri Shigeru Ishiba meletakkan jawatan bulan lalu bagi mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti pemerintah dalam pilihan raya umum.
Takaichi, yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), dikenali dengan pendirian tegasnya terhadap Chinaserta pandangan konservatif dalam dasar sosial dan keselamatan.
Bekas pemain dram kumpulan heavy metal itu dipilih mengetuai LDP pada 4 Oktober lalu selepas parti tersebut kehilangan sokongan rakyat akibat skandal dana politik.
Krisis itu turut menyebabkan Parti Komeito, sekutu tradisional LDP, menarik diri daripada gabungan pemerintah, sekali gus memaksa Takaichi mencari sekutu baharu.
Gabungan baharu bersama Japan Innovation Party (JIP) dimeterai malam tadi, dengan kedua-dua parti bersetuju memperjuangkan dasar termasuk penghapusan cukai pengguna ke atas makanan, pengurangan bilangan ahli parlimen, serta pengharaman sumbangan politik daripada korporat dan organisasi.
Dalam ucapan pertamanya selepas dilantik, Takaichi berjanji akan menumpukan usaha untuk memperkukuh ekonomi Jepun serta membentuk semula dasar negara agar lebih bertanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan hasrat untuk membentuk Kabinet dengan penyertaan wanita lebih ramai, mengambil inspirasi daripada negara-negara Nordik, berbanding hanya dua wanita yang pernah dilantik dalam pentadbiran Ishiba.
Pelantikan Takaichi dilihat sebagai detik penting dalam sejarah politik Jepun yang selama ini didominasi pemimpin lelaki, sekaligus membuka lembaran baharu dalam landskap kepimpinan negara matahari terbit itu. – Agensi
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
