TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

CEO Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed umum letak jawatan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Okt - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Mohd Muazzam Mohamed, akan melepaskan jawatannya selepas lebih sedekad berkhidmat bersama institusi kewangan Islam itu, termasuk tujuh tahun sebagai peneraju utama.

Menurut kenyataan bank tersebut, peletakan jawatan Mohd Muazzam akan berkuat kuasa pada 7 Januari 2026, manakala hari terakhir perkhidmatannya ialah pada 12 Disember 2025.

Bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit, Mizan Masram, akan mengambil alih tanggungjawab sebagai pegawai yang mengetuai kumpulan mulai 13 Disember 2025.

“Sepanjang tempoh notis, Datuk Mohd Muazzam akan terus memberikan sokongan kepada Mizan bagi memastikan proses peralihan kepimpinan yang tersusun,” kata Bank Islam dalam kenyataannya.

Sejak dilantik sebagai GCEO pada 2018, Mohd Muazzam memacu transformasi digital dan pertumbuhan strategik Bank Islam, termasuk memperkenalkan pelbagai inovasi selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Antara pencapaian utama beliau ialah pelancaran aplikasi perbankan mudah alih berasaskan awan pertama di Malaysia, Be U, serta pelaksanaan inisiatif pembayaran elektronik yang memperkukuh daya tahan perniagaan dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

Beliau juga menerajui penstrukturan semula besar-besaran kumpulan pada Oktober 2021, yang menyaksikan Bank Islam mengambil alih status penyenaraian daripada syarikat induknya dan menjadi satu-satunya bank Islam tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai keputusannya untuk berundur, Mohd Muazzam berkata:

“Pengalaman berkhidmat di Bank Islam merupakan satu penghormatan besar bagi saya. Selepas tujuh tahun sebagai GCEO, saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk saya berundur dan memberi tumpuan kepada matlamat peribadi.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang telah saya terima daripada Lembaga Pengarah, pengurusan, dan semua rakan kerja di Bank Islam.”

Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar, menyifatkan Mohd Muazzam sebagai antara pemimpin penting yang berjaya membentuk Bank Islam menjadi sebuah institusi kewangan yang kukuh dan berdaya saing.

“Mewakili Lembaga Pengarah, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat beliau dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha masa hadapan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengarah Bank Islam kini dalam proses mengenal pasti calon pengganti baharu untuk menerajui bank tersebut ke fasa pertumbuhan seterusnya, dengan pengumuman rasmi akan dibuat selepas mendapat kelulusan pihak kawal selia.

+ - reset