TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

'Saya datang sebab cinta, bukan benci' - Kamal Adli rayu netizen jangan kecam Uqasha

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt - Pelakon Kamal Adli merayu orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang komen atau kata-kata negatif terhadap isterinya, Uqasha Senrose, ketika mereka berdepan kemelut rumah tangga.

Kamal berkata, kehadirannya ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bukan untuk menuding jari, sebaliknya bagi mencari jalan terbaik untuk memulihkan hubungan mereka.

“Saya mohon kepada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok pada isteri saya.

Tolong jangan kecam dia. Dia penat kerja, dia tertekan dan saya faham perkara itu.

Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan pada dia sebab apa yang berlaku pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding, hari ini.

Kamal turut mengakui kelemahan dirinya sebagai punca kepada krisis rumah tangga mereka dan menegaskan tidak mahu menyalahkan pihak lain.

“Apa yang berlaku hari ini, saya anggap semuanya berpunca daripada kelemahan saya sendiri. Saya minta maaf kalau ada salah saya terhadap dia atau keluarganya,” katanya.

Pelakon drama Jika Masih Ada Rindu itu juga menegaskan bahawa isu rumah tangga bukan untuk dijaja secara terbuka.

“Ada benda yang saya boleh kongsi dan ada benda yang saya hanya boleh cerita kepada keluarga. Ini hal keluarga, bukan untuk dijaja kepada semua orang,” ujarnya.

Menurut Kamal, beliau tidak dapat berhubung atau bertemu dengan Uqasha sejak 27 September lalu, namun masih berharap agar rumah tangga mereka dapat diselamatkan demi anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.

“Untuk isteri saya, sayang, janganlah ke sini-sini lagi. Kita jumpa dan selesaikan secara baik demi anak kita, Hawra. Saya datang sebab cinta, bukan benci,” katanya.

Dalam masa sama, Kamal turut menafikan dakwaan wujudnya orang ketiga atau berlaku keganasan dalam perkahwinannya.

“Saya tak curang, saya tiada orang lain. Saya hanya ada dia dan anak saya sahaja.

"Kalau kata saya buat kasar terhadap isteri, buktikan. Saya sayang dia,” tegasnya.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada kes atas alasan tiada kesefahaman dan isu profesionalisme antara dirinya dan anak guam.

“Saya sudah memaklumkan kepada anak guam mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik. Permohonan itu akan difailkan secara rasmi selepas prosiding hari ini,” katanya.

Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali, dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November ini. 

 

+ - reset