Berita Dunia
Kemenangan bersejarah Zohran Mamdani fenomena 'luar biasa', tanda berakhirnya politik Islamofobia di New York
NEW YORK 6 Nov - Sejarah baharu tercipta di Amerika Syarikat apabila Zohran Mamdani, 34, diumumkan sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York, sekali gus menjadi individu berketurunan Asia Selatan pertama memimpin kota raya terbesar negara itu.
Ahli politik sosialis daripada Parti Demokrat itu menewaskan dua pencabarnya — bekas Gabenor Andrew Cuomo(calon bebas) dan Curtis Sliwa (Parti Republikan) — dalam saingan yang dianggap antara kejutan politik terbesar New York dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan memperoleh lebih 50 peratus undi daripada dua juta pengundi, kemenangan Mamdani mencetuskan sambutan luar biasa di beberapa kawasan kejiranan termasuk Astoria, Queens, lokasi asal kempen akar umbinya.
Bagi masyarakat Islam New York, kemenangan Mamdani membawa erti yang amat mendalam, terutama selepas bertahun-tahun berdepan diskriminasi pasca tragedi 11 September.
Zamzani Ali, penduduk Brooklyn, ketika ditemui Anadolu di hadapan sebuah kafe Yaman di Astoria, menyifatkan kemenangan itu sebagai harapan baharu untuk kehidupan lebih adil dan bermaruah.
“Zohran Mamdani mewakili perjuangan sejagat yang dilalui kebanyakan penduduk bandar raya ini — untuk kehidupan lebih baik, gaji setimpal, harga barangan dan sewa yang berpatutan serta keadilan untuk semua,” katanya.
Menurut Zamzani, kemenangan itu juga menjadi detik simbolik bagi umat Islam di Amerika.
“Umat Islam sudah lama bergelut dan menjadi mangsa diskriminasi di Amerika sejak peristiwa 11 September. Jadi apabila seorang Muslim menjadi Datuk Bandar bagi kota raya yang dahulunya menyalahkan Muslim atas pelbagai jenayah dan keganasan, ia sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.
Dasar pro-rakyat jadi tunjang kemenangan
Kempen Mamdani menumpukan kepada isu kemampuan hidup dan keadilan sosial, antaranya membekukan kadar sewa, menyediakan perkhidmatan bas percuma, penjagaan kanak-kanak universal dan pasar raya dikendalikan kerajaan bandar.
Beliau turut berjanji menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam menjelang 2030 serta memperkenalkan cukai lebih tinggi terhadap syarikat besar dan golongan jutawan bagi membiayai dasar tersebut.
Faizah, 31, seorang guru, menyifatkan pendekatan Mamdani sebagai dasar berpaksikan rakyat biasa.
“Sebagai seorang guru, saya rasa banyak dasar beliau yang baik, terutama menyalurkan lebih banyak dana supaya guru dan ibu bapa dapat menumpukan perhatian terhadap pendidikan.
Sewa di New York sangat tinggi, jadi langkah membekukan sewa amat bermakna. Saya rasa beliau benar-benar memperjuangkan rakyat,” katanya.
“Detik perubahan besar” buat New York
Bagi penduduk lain, kejayaan Mamdani bukan sekadar kemenangan politik, tetapi perubahan landskap sosial New York.
Badger Shahbain, yang sudah lama mengenali Mamdani, berkata kejayaan itu memberi inspirasi kepada seluruh komuniti Muslim.
“Kami sangat berbangga dengannya. Ini akan mengubah sejarah. Cara beliau menang benar-benar mengubah segalanya. Saya yakin beliau akan menjalankan tugasnya dengan baik,” katanya.
Tiada tempat untuk Islamofobia
Dalam ucapan kemenangannya di Teater Paramount, Brooklyn, Mamdani menzahirkan penghargaan kepada penyokong sambil menegaskan komitmen untuk memperkukuh perpaduan antara kaum dan agama.
“Kami akan membina Dewan Bandaraya yang berdiri teguh bersama penduduk Yahudi New York, dan di mana lebih sejuta Muslim tahu bahawa mereka diterima.
Tidak akan ada lagi di New York yang menggunakan Islamofobia untuk memenangi pilihan raya,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Titik perubahan politik Muslim Amerika
Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) dalam kenyataan rasmi menyifatkan kemenangan Mamdani sebagai “titik perubahan bersejarah” dalam penglibatan politik Muslim di Amerika Syarikat.
“Keupayaan Mamdani untuk menang sambil secara terbuka memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin dan berdepan serangan kebencian anti-Islam menandakan penolakan bersejarah terhadap Islamofobia dan perkauman anti-Palestin dalam politik,” menurut CAIR. – AGENSI
Berita berkaitan
November 7, 2025, 8:43 pm
54 cedera letupan di masjid dalam sekolah ketika solat Jumaat di Jakarta
November 6, 2025, 7:44 am
11 terbunuh pesawat kargo pesawat UPS terhempas, enjin tercabut ketika berlepas di Kentucky
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
