TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

2,000 penerbangan dibatalkan, Trump ugut nak potong gaji pengawal trafik udara

By
|
Kongsi
image

 

NEW YORK 11 Nov - Kekecohan sistem penerbangan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak apabila lebih 2,000 penerbangan dibatalkan pada Isnin, susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk memotong gaji pengawal trafik udara yang mengambil cuti sakit ketika penutupan kerajaan masih berlarutan.

Penutupan kerajaan yang kini memasuki hari ke-41 mencetuskan kekacauan besar terhadap sektor penerbangan, selepas Trump mengecam pekerja yang tidak hadir bekerja sebagai ‘tidak patriotik’.

Sebagai reaksi, Kesatuan Pekerja Kawalan Trafik Udara Kebangsaan (NATCA) menegaskan bahawa ahlinya yang terus bekerja tanpa gaji adalah “wira tidak didendang”, sambil menyeru Kongres segera menamatkan penutupan kerajaan.

“Cukuplah,” tegas kesatuan itu dalam satu kenyataan.

Pertikaman lidah antara Trump dan NATCA itu menyerlahkan tekanan yang semakin meningkat terhadap industri penerbangan, ketika rang undang-undang kompromi sedang dipertimbangkan di Kongres bagi mencari penyelesaian segera.

Sistem kawalan trafik udara sudah pun terjejas akibat kekurangan tenaga kerja sebelum penutupan, dan kini semakin tertekan dengan peningkatan jumlah penumpang menjelang musim cuti Thanksgiving.

Menurut laman penjejakan FlightAware, lebih 7,100 penerbangan mengalami kelewatan, selain lebih 2,000 pembatalan di seluruh AS.

Minggu lalu, pentadbiran Trump turut mengarahkan pengurangan 10 peratus penerbangan di puluhan lapangan terbang utama kerana kekurangan kakitangan.

Trump menerusi platform Truth Social miliknya mengugut bahawa pengawal trafik udara yang enggan kembali bekerja “akan dipotong gaji dengan ketara.”

“Semua pengawal trafik udara mesti kembali bekerja SEKARANG!!!” tulisnya.

Beliau turut mencadangkan bonus AS$10,000 kepada “patriot hebat” yang terus bekerja tanpa cuti sepanjang penutupan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kesatuan NATCA menamatkan sidang media selepas menerima cek gaji sifar untuk minggu kedua berturut-turut.

Presidennya, Nick Daniels, menyambut baik usaha perundangan di Kongres sebagai “langkah ke arah yang betul”, namun menegaskan bahawa pengawal trafik udara tidak seharusnya dijadikan “bidak politik” dalam krisis ini.

“Pengawal trafik udara telah bekerja tanpa gaji selama lebih 40 hari.
Mereka melaksanakan antara pekerjaan paling mencabar di dunia, bekerja sehingga 10 jam sehari tanpa bayaran,” katanya.

Ahli Kongres Demokrat Rick Larsen pula mengecam tindakan Trump sebagai “tidak waras”.

“Mereka yang memastikan keselamatan sistem penerbangan negara layak mendapat penghargaan, bukan serangan terhadap patriotisme mereka,” katanya.

Bekerja Dua Pekerjaan Untuk Terus Hidup

Harapan penyelesaian mula kelihatan selepas lebih ramai ahli Demokrat menyertai Republikan di Senat bagi meluluskan rang undang-undang pembiayaan kerajaan sehingga Januari, namun Daniels mengingatkan pengalaman tahun 2019 apabila gaji tertunggak hanya dibayar selepas dua bulan setengah.

Seorang lagi anggota NATCA, Amy Lark, yang bekerja di Virginia, mendedahkan keluarganya kini hidup tanpa dua gaji kerana suaminya juga bekerja di agensi sama.

“Semalam anak-anak saya bertanya berapa lama lagi kami boleh tinggal di rumah ini. Menjawabnya amat menyedihkan,” katanya.

Beliau turut menceritakan tekanan rakan sekerja yang terpaksa menjadi pemandu Uber atau mencari kerja sambilanuntuk menampung kos sara hidup, termasuk penjagaan anak.

Sementara itu, penumpang juga tidak terlepas daripada kesan pengurangan operasi.

“Agak huru-hara pagi ini,” kata Jack Nicks, penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami yang berulang kali memastikan penerbangannya tidak dibatalkan.
“Beberapa rakan saya sudah mengalami tiga kali pertukaran penerbangan. Memang sukar,” katanya.

+ - reset