TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketibaan pelancong China ke Pulau Pinang melonjak 520 peratus

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Nov - Ketibaan pelancong dari China ke Pulau Pinang mencatat peningkatan luar biasa apabila melonjak 520.2 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2025 berbanding tempoh sama pada 2023.

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata pelancong China kini menjadi kumpulan dengan peningkatan tertinggi dalam senarai pelancong antarabangsa yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Beliau berkata, data Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan ketibaan pelancong China meningkat daripada 26,056 pada 2023 kepada 161,599 pada 2025, sekali gus menjadikan China pasaran kedua terbesar selepas Indonesia.

Selain China, beberapa pasaran lain turut merekodkan peningkatan ketara, termasuk India (245.1 peratus), Thailand (49.6 peratus), United Kingdom (44.2 peratus) dan Jepun (41.4 peratus). Wong berkata demikian ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (PH–Batu Lanchang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Menurutnya, Indonesia kekal sebagai penyumbang utama ketibaan pelancong ke Pulau Pinang dengan 284,364 pelancong direkodkan dari Januari hingga September lalu, meningkat 12.3 peratus berbanding 253,307 dalam tempoh sama pada 2023.

Dalam usaha memperluas pasaran, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut meneroka potensi Asia Barat melalui kerjasama Penang Global Tourism (PGT) dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Oman, selain penyertaan dalam Arabian Travel Market di Dubai.

PGT juga memperkukuh promosi digital bagi menarik pelancong dari rantau itu dengan mengetengahkan penginapan mesra Muslim, makanan halal, kemudahan mesra keluarga serta pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa.

+ - reset