TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPKT nafi hidang arak dalam majlis, hanya ‘cucumber apple silder’

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan tular yang mendakwa majlisnya menghidangkan minuman beralkohol, menjelaskan bahawa minuman tersebut sebenarnya ialah cucumber apple slider yang tidak mengandungi sebarang alkohol.

Dalam satu kenyataan, KPKT berkata minuman berkarbonat itu disajikan menggunakan gelas berkaki kerana ia merupakan standard katering bagi majlis berprotokol, bukannya petunjuk kepada penggunaan arak seperti didakwa.

“Minuman cucumber apple slider yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alkohol.

“Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering lazim untuk majlis berprotokol,” kata kementerian itu.

KPKT turut menegaskan bahawa mereka memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej kementerian dan reputasi tetamu majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT pada 8 November lalu.

Susulan itu, kementerian telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyiasat tohmahan yang ditularkan.

Kementerian turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.

“KPKT kekal komited memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat,” katanya.

+ - reset