TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Di sekolah guru banyak tugas lain' - Ibu bapa digesa pantau aktiviti 'online' anak, tangani kes buli

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Nov – Kes buli di negara ini, termasuk melibatkan kanak-kanak, menunjukkan peningkatan ketara yang disifatkan sebagai trend membimbangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata, peningkatan laporan berkait kes buli bukan semata-mata menunjukkan lebih banyak kejadian berlaku, tetapi turut dipengaruhi tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi hingga mendorong lebih ramai tampil membuat laporan.

Namun, katanya, perkembangan teknologi dan ruang siber yang semakin terbuka turut menjadi faktor penyumbang yang tidak boleh diketepikan, memandangkan ia dimanfaatkan pelaku jenayah termasuk predator dalam talian.

“Memang membimbangkan kerana dibimbangi ada ibu bapa tidak sedar, terutama ibu bapa sibuk bekerja dan tidak tahu kesan aktiviti dalam talian.

“Di sekolah pula, guru-guru ada tugas lain jadi mereka tidak tahu apa yang berlaku, terutama kegiatan terkini dalam talian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Forum ICT ASEAN Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak 2025 dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara hari ini.

Menurut Nancy, peningkatan kes buli bukan sekadar statistik, tetapi petunjuk jelas bahawa kanak-kanak kini semakin terdedah kepada ancaman digital yang sukar dikesan, termasuk manipulasi melalui media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi perhubungan.

Katanya, ramai kanak-kanak teruja dengan aktiviti digital sehingga tidak menyedari mereka sedang diperdaya, sekali gus menjadikan mereka sasaran mudah.

Dalam pada itu, Nancy menegaskan bahawa statistik rasmi berkaitan kes buli hanya akan dianggap sah selepas disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana laporan polis dan tindakan susulan merupakan asas utama dalam pengumpulan data nasional.

“Apa sahaja angka atau data, kita perlu dapatkan daripada PDRM. Jika telah dilaporkan dan tindakan telah diambil, barulah kita boleh peroleh data itu,” ujarnya.

+ - reset