TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sorok lebih 190kg kanabis dalam 'speaker' kereta untuk diedar, lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Nov – Seorang lelaki tempatan, Muhammad Hariz Abdull Malek, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas disabitkan bersalah mengedar 190.32 kilogram kanabis di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, lapan tahun lalu.

Keputusan itu dibuat semalam selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan, kejadian berlaku pada 9 Ogos 2017 kira-kira pukul 8.40 pagi apabila pegawai kastam menahan dan memeriksa sebuah kereta Proton Preve dipandu tertuduh.

Pemeriksaan menemukan 200 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat dipercayai dadah yang disembunyikan di dalam kotak pembesar suara yang diubah suai menjadi ruang rahsia.

Susulan penemuan itu, tertuduh ditahan manakala kenderaan serta semua barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JKDM, Ahmad Nazneen Zulkifli. Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil manakala tertuduh menjadi satu-satunya saksi pembelaan.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan tertuduh membela diri pada 8 Julai 2025 selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pada 17 November 2025, Hakim Evawani Farisyta Mohammad memutuskan bahawa tertuduh bersalah dan mensabitkannya dengan hukuman gantung sampai mati. 

+ - reset