TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dewan Rakyat kecoh isu menantu Muhyiddin didakwa lari ke luar negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Nov - Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh susulan isu melibatkan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dibangkitkan seorang Ahli Parlimen kerajaan.

Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan tindakan yang boleh diambil kerajaan terhadap individu yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun melarikan diri ke luar negara.

“Sebagai contoh, anak menantu Pagoh yang terbabit dalam kes SPRM — nak didakwa tetapi sudah melarikan diri sebaik sahaja ayah mentuanya didakwa di mahkamah. Adakah SPRM ada bertanya kepada bapa mentua, ke mana perginya anak menantu beliau?” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang. Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN–Rompin) bangun mencelah menyatakan isu tersebut sudah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingat berapa kali dah Kota Melaka bangkitkan soalan yang sama. Sakit hati kami. Kes terowong macam mana?” katanya merujuk kes rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin DAP.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudian meminta kedua-dua pihak bertenang dan memberi laluan kepada Perdana Menteri menjawab soalan.

SPRM selesai siasat, cabaran bawa pulang suspek

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan — menantu Muhyiddin — telah selesai. SPRM kini sedang memastikan proses pertuduhan dapat dilakukan di Malaysia.

Bagaimanapun, usaha membawa pulang Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, berdepan kesukaran termasuk mengenal pasti aset serta keberadaan mereka di luar negara.

Kerajaan teliti insentif pemberi maklumat luar negara

Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Anwar berkata kerajaan sedang meneliti kaedah memperkukuh kuasa SPRM dan agensi penguat kuasa lain termasuk pemberian insentif kepada pemberi maklumat di luar negara bagi membantu menyelesaikan kes berprofil tinggi.

“Soal insentif ini perlu dirujuk kepada peraturan, tetapi apa saja kaedah yang boleh membantu siasatan, kita beri ruang kepada pihak penguat kuasa untuk menentukannya,” katanya.

Beliau menegaskan, meskipun individu terbabit melarikan diri ke luar negara, siasatan tidak dihentikan dan usaha membawa mereka ke muka pengadilan akan diteruskan.

Anwar turut menambah bahawa kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM akan diperkukuh bagi memastikan semua maklumat relevan dapat dimanfaatkan, sama ada dari dalam atau luar negara.

+ - reset