TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah benarkan Muhyiddin dapat pasport sementara untuk rawatan kanser di UK

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Nov – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara sementara bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan penyakit kanser pankreas serta meluangkan masa bersama keluarganya di United Kingdom (UK).

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan pasport sementara dikeluarkan dari 8 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026, namun menetapkan beberapa syarat tambahan.

Menurut hakim, pasport hanya akan diserahkan kepada peguam pemohon pada 8 Dis 2025, manakala ia mesti dipulangkan kepada mahkamah pada atau sebelum 5 Jan 2026.

Beliau turut menegaskan tiada keperluan untuk transit di Dubai selama lima hingga enam hari seperti dimohon, sebaliknya memadai satu hingga dua hari.

“Pemohon telah menempah tiket sebelum kebenaran diperoleh daripada mahkamah, maka pemohon telah mengambil risiko. Tindakan ini boleh membuka flood gate kepada permohonan-permohonan yang sama,” katanya.

Mahkamah sebelum ini beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin mendapatkan pasport sementara untuk urusan peribadi dan perubatan, termasuk menghadiri graduasi cucu, menjalani konsultasi kanser di London, pemeriksaan di Singapura serta menghadiri pembukaan restoran rakan di Thailand.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memohon supaya pasport diberikan bermula hari ini hingga 12 Jan 2026 bagi menjalani pemeriksaan susulan tahunan di UK.

Beliau berkata anak guamnya turut mahu meluangkan masa bersama keluarga, termasuk cucu-cucu di UK dan isteri di Madrid, sambil menegaskan tiada risiko anak guamnya melarikan diri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat tidak membantah rawatan di UK tetapi membantah permohonan untuk ke Madrid kerana ia boleh membuka ruang permohonan serupa pada masa hadapan.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan tempoh pasport dihadkan sehingga 20 Dis 2025.

Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Bersatu di Ambank dan CIMB antara Februari 2021 dan Julai 2022.

+ - reset