Berita Ekonomi
Saga Serba Baharu cipta fenomena, satu tempahan diterima setiap 43 saat
SUBANG JAYA 18 Nov – Saga Serba Baharu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima 10,000 tempahan hanya dalam tempoh lima hari, sekali gus menjadikan model ikonik itu antara sedan paling mendapat sambutan pantas di negara ini.
Fenomena luar biasa itu bermula sebaik harga anggaran diumumkan dan tempahan dibuka pada 10 November lalu. Secara purata, satu tempahan baharu diterima setiap 43 saat, bersamaan 2,000 tempahan sehari atau 83 tempahan setiap jam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa, menyifatkan sambutan tersebut sebagai luar biasa dan satu penghargaan besar daripada rakyat Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut PROTON, sambutan itu membuktikan keyakinan kukuh pengguna terhadap evolusi baharu sedan kegemaran ramai itu yang kini hadir dengan gabungan prestasi lebih mengagumkan, aspek keselamatan komprehensif serta ciri pintar generasi baharu.
Model itu kekal menjadi pilihan kerana nilai yang ditawarkan. Walaupun menampilkan pelbagai penambahbaikan besar, Saga Serba Baharu mengekalkan harga mampu milik dengan julat harga indikatif antara RM40,000 hingga RM50,000.
Bahagian dalaman direka lebih moden dengan paparan skrin berkembar bersepadu 16 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, mengukuhkan komitmen PROTON terhadap mobiliti pintar dan rangkaian kenderaan terhubung.
Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi sembilan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) serta enam beg udara, memberikan perlindungan lebih menyeluruh.
Dari segi prestasi, ia dipacu enjin serba baharu i-GT 1.5L yang digandingkan dengan transmisi CVT untuk pemanduan lebih lancar dan efisien.
Saga Serba Baharu turut menjadi lambang kemajuan kejuruteraan automotif Malaysia apabila dibina berasaskan Advanced Modular Architecture (AMA), yang kini dimiliki sepenuhnya oleh PROTON.
Penampilan luaran kekal mengekalkan identiti Saga dengan sentuhan moden serta perincian berinspirasikan Sulaman Songket yang meraikan warisan budaya negara.
Abdul Rashid berkata pasukan pengeluaran di Tanjung Malim kini sedang meningkatkan kapasiti bagi memenuhi permintaan tinggi itu, dengan penyerahan kepada pelanggan akan bermula sejurus pelancaran rasmi dilakukan.
Berita berkaitan
February 26, 2026, 5:29 pm
Keuntungan bersih Maybank naik 4.2 peratus kepada RM10.51 bilion pada TK2025
February 19, 2026, 2:21 pm
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026
February 19, 2026, 12:18 pm
KWSP tambah pegangan Sunway susulan tawaran ambil alih IJM bernilai RM11b
February 12, 2026, 10:30 am
Hijrah Selangor perkukuh kerjasama dengan TERAJU, perkasa masa depan usahawan ke peringkat lebih tinggi
December 18, 2025, 12:12 pm
Ringgit kukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS
December 17, 2025, 1:25 pm
Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan
December 1, 2025, 11:32 am
Perodua perkenal EV pertama QV-E berharga RM80,000
November 17, 2025, 11:45 am
Pendapatan pelaburan KWSP melonjak RM63.99 bilion dalam sembilan bulan
November 14, 2025, 5:03 pm
