TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nadma tidak halang NGO salur bantuan kepada mangsa banjir

By
|
Kongsi
image

TUMPAT 25 Nov – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menegaskan bahawa mereka tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan.

Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, semua NGO yang terlibat perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan melalui Ketua Jajahan atau Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan penyelarasan bantuan berjalan lancar.

“Tiada halangan kepada NGO untuk menyalurkan bantuan di PPS, tetapi mereka perlu mengikut prosedur yang betul. Apabila mereka datang, janganlah main terjah sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, di sini hari ini.

Meor Ismail berkata, Nadma menerima satu aduan mengenai dakwaan mangsa banjir dihalang daripada menerima bantuan NGO di sebuah PPS baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan prosedur tersebut hanyalah untuk memudahkan penyelarasan bantuan dan bukan sekatan kepada NGO.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua prosedur untuk penyaluran bantuan sudah disediakan kerana banjir bukan kejadian pertama melanda negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, setakat ini, seramai 19,422 mangsa daripada 6,554 keluarga terjejas banjir di lapan negeri, dengan 112 PPS dibuka, termasuk 40 pusat pemindahan di Kelantan.

+ - reset