TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Sabah: Fahmi nafi dakwaan PH biayai kempen media sosial RM8 juta burukkan Warisan

By
|
Kongsi
image

 

PENAMPANG 25 Nov – Dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) menyalurkan dana RM8 juta untuk membiayai kempen media sosial yang didakwa memburukkan Parti Warisan dibidas pucuk pimpinan gabungan itu, yang menegaskan mereka tidak pernah memiliki peruntukan sedemikian.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata PH tidak mengetahui asal-usul dakwaan dibuat Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mendakwa wujud pembiayaan besar bagi kempen berunsur perkauman terhadap partinya.

"Saya tak tahu apa dia cakap. Bagi PH, kami tak ada dana seperti itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRN Sabah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Shafie mendakwa seteru politiknya menggunakan RM8 juta dana awam untuk membiayai kempen media sosial bertujuan memburukkan WARISAN, selain memberi amaran taktik itu boleh mengalihkan fokus daripada isu pembangunan sebenar Sabah.

Fahmi turut memaklumkan bahawa tiga kes berhubung sebaran media dalam PRN Sabah telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Setakat ini terdapat tiga kes yang telah dimaklumkan. Saya tidak diberi perincian kes-kes tersebut tapi dua telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan langkah seterusnya, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.

"Ketiga-tiga kes ini ada kaitan tentang sebaran sepanjang tempoh pilihan raya.

"Tetapi saya tidak boleh memaklumkan isi kandungan atau perincian kes-kes ini kerana masih dalam siasatan. Satu dalam siasatan, dua dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kempen menggunakan isu sensitif 3R – raja, agama dan kaum – sepanjang PRN Sabah.

"Ini tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat. Gunakanlah hujah dengan cerdik, cerdas dan sudah pasti kita tidak mahu sampai tindakan yang akan merosakkan keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat," katanya.

Fahmi menegaskan, MCMC dan Kementerian Komunikasi tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika menerima aduan berkaitan penggunaan isu 3R dalam kempen.

+ - reset