TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kementerian Luar aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat Malaysia terjejas banjir di Hat Yai

By
|
Kongsi
image

BANGKOK 25 Nov – Kementerian Luar Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan di Putrajaya bagi memperkukuh penyelarasan serta memastikan bantuan berterusan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hat Yai dan kawasan sekitarnya.

Kementerian itu berkata, pengaktifan bilik berkenaan dibuat susulan usaha berterusan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia di lapangan.

Setakat ini, lebih 6,300 rakyat Malaysia dilaporkan selamat pulang ke tanah air, manakala mereka yang masih berada di Hat Yai dikenal pasti menginap di hotel bertingkat sebagai langkah keselamatan.

Kementerian turut menyarankan rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang memerlukan bantuan dan gagal menghubungi wakil Malaysia di Thailand supaya segera menghubungi Bilik Gerakan di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

“Mereka yang belum mendaftar atau menerima bantuan dinasihatkan menghubungi sama ada Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan di Bangkok tanpa berlengah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kabinet Thailand pada Selasa mengisytiharkan banjir teruk di Daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, sebagai “situasi darurat” susulan keadaan yang semakin meruncing. Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memaklumkan bahawa bantuan besar-besaran telah digerakkan di seluruh kawasan terjejas.

“Mana-mana lokasi yang memerlukan bantuan segera tetapi belum dapat dicapai pasukan penyelamat akan menerima jentera, peralatan tambahan serta tenaga kerja diperkukuh seperti diarahkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Terdahulu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan puluhan ribu penduduk terjejas dengan 1,228 isi rumah di 16 daerah kecil dipindahkan, manakala seramai 697,231 orang terjejas di wilayah Songkhla.

+ - reset