Berita Berita
'Beliau boleh bawa ke isu ke Parlimen, kenapa perlu turun padang?' - NGO tegur tindakan Timbalan Menteri dalam isu Indira Gandhi
KUALA LUMPUR 25 Nov – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih (Team DSK) menegur tindakan seorang Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang hadir pada perhimpunan aman berkaitan kes Indira Gandhi, dengan menyifatkan langkah itu tidak selari dengan kedudukannya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Presidennya, Dato N. Sivakumar, berkata penyertaan Timbalan Menteri berkenaan dalam perhimpunan tersebut menimbulkan persoalan kerana isu terbabit sudah berlarutan lebih 15 tahun dan berada dalam bidang kuasanya untuk ditangani melalui saluran rasmi kerajaan.
“Beliau mempunyai ruang untuk membawa isu ini ke mesyuarat kementerian, sidang Parlimen dan platform pentadbiran lain. Mengapa memilih untuk turun padang di perhimpunan awam bagi menyuarakan pendirian?” katanya.
Sabtu lalu, perhimpunan aman bagi menuntut penyelesaian kes Indira Gandhi — yang kehilangan hak penjagaan anak bongsunya, Prasana Diksa, selepas suaminya memeluk Islam dan melarikan bayi berkenaan — turut disertai beberapa pihak termasuk pemimpin politik dan seorang Timbalan Menteri.
Sivakumar berkata, beliau menghargai keprihatinan Timbalan Menteri itu, namun berpendapat tindakan tersebut memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertindak secara serius terhadap kes berprofil tinggi itu.
“Sudah dua tahun beliau menyandang jawatan tersebut. Jika benar mahu membantu, beliau boleh menggunakan mandat dan kuasa yang ada untuk mempercepatkan penyelesaian,” katanya.
Menurut Sivakumar, Timbalan Menteri itu juga dilaporkan bersetuju mengatur pertemuan bersama Ketua Polis Negara bagi membincangkan isu itu, namun langkah tersebut dilihat lewat memandangkan kes berkenaan telah lama berlarutan.
“Kerajaan wajar memberi perhatian serius. Kes hak penjagaan paling rumit dalam sejarah negara ini perlu diselesaikan segera. Rakyat tidak mendesak sesiapa, tetapi kami mengharapkan tindakan yang lebih tegas dan berkesan,” katanya.
Sivakumar turut menyeru agar usaha menstruktur semula aspek perundangan dipertingkatkan supaya isu-isu sensitif melibatkan pertindihan bidang kuasa sivil dan syariah tidak terus berulang.
Berita berkaitan
November 25, 2025, 8:44 pm
Lelaki bersilat bertopi keledar di tanah perkuburan ditahan polis
November 25, 2025, 8:41 pm
Kementerian Luar aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat Malaysia terjejas banjir di Hat Yai
November 25, 2025, 8:36 pm
SAM kecam serangan terhadap wartawan Haresh Deol
November 25, 2025, 8:31 pm
Wartawan Haresh Deol cedera diserang dua individu tidak dikenali
November 25, 2025, 6:21 pm
'Ada cubaan untuk menyerang saya' - Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik PM
November 25, 2025, 5:46 pm
Lelaki dipenjara lima tahun cuba langgar, bunuh polis di stesen minyak di Klang
November 25, 2025, 3:55 pm
PRN Sabah: Fahmi nafi dakwaan PH biayai kempen media sosial RM8 juta burukkan Warisan
November 25, 2025, 3:22 pm
Jaga-jaga, hujan sangat lebat berterusan landa Kelantan, Terengganu hingga esok - MetMalaysia
November 25, 2025, 2:35 pm
