TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki bersilat bertopi keledar di tanah perkuburan ditahan polis

By
|
Kongsi
image

KLUANG 25 Nov – Lelaki yang tular bersilat sambil memakai topi keledar di Tanah Perkuburan Kampung Melayu di sini ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek ditahan anggota Balai Polis Sri Lalang pada pukul 1 petang semalam susulan penularan video berkenaan.

“Suspek berusia 31 tahun ditangkap di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bahrin, semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Video berdurasi 27 saat itu sebelum ini dirakam pengguna jalan raya dan dimuat naik ke media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Pejabat Kadi Daerah Kluang dalam kenyataan kelmarin memaklumkan tiada unsur pemujaan atau ritual bercanggah syarak dikesan di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

+ - reset