Berita Berita
Pindaan undang-undang wajibkan anak beri nafkah ibu bapa uzur dibentang Mac tahun depan
KUALA LUMPUR 25 Nov - Usaha memperkukuh perlindungan kebajikan ibu bapa uzur memasuki fasa penting apabila kerajaan bersedia membentangkan pindaan undang-undang terperinci mengenai nafkah ibu bapa di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan, selaras dengan persediaan negara menuju status warga tua menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata proses advokasi kepada masyarakat akan diteruskan sementara draf pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah serta Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.
"Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang membuat pindaan undang-undang baharu Undang-undang Mahkamah Syariah dengan memasukkan punca kuasa jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa dalam undang-undang itu.
"Usaha ini bertujuan memastikan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa menangani tuntutan membabitkan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan.
"Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) juga sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984 termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa supaya lebih selari dan responsif kepada keperluan masyarakat serta realiti semasa masyarakat Islam di negara ini," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai langkah kerajaan menambah baik undang-undang keluarga Islam agar mewajibkan nafkah ibu bapa, khususnya apabila mereka uzur, tidak mampu menyara diri atau tidak berpendapatan.
Menurut Mohd Na’im, semakan yang sedang dilakukan itu bagi memastikan kerajaan dapat menilai sama ada peruntukan sedia ada memadai atau perlu penambahbaikan lebih mendalam terhadap aspek nafkah ibu bapa.
"Pada masa ini, penyediaan draft undang-undang itu sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan dan membabitkan libat urus bersama pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan itu benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak," katanya.
Menjawab lanjut mengenai mekanisme penyelarasan yang dilaksanakan JAKIM, beliau berkata ia membabitkan Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan bagi memastikan satu model undang-undang persekutuan dapat digunakan di semua negeri.
"Hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri menurut Perlembagaan Persekutuan. Namun dalam konteks penyelarasan, JAKIM berperanan merangka satu undang-undang model yang boleh dijadikan rujukan negeri-negeri bagi memastikan keseragaman pelaksanaan di seluruh negara.
"Namun proses ini mengambil masa, maka sementara menunggu pindaan dimuktamadkan, kerajaan laksana advokasi melalui kursus pra dan pasca perkahwinan, program pendidikan keluarga serta hebahan melalui TV Al-Hijrah dan IKIM bagi meningkatkan kesedaran tentang kewajiban anak menyara ibu bapa," katanya.
Berita berkaitan
November 25, 2025, 8:44 pm
Lelaki bersilat bertopi keledar di tanah perkuburan ditahan polis
November 25, 2025, 8:41 pm
Kementerian Luar aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat Malaysia terjejas banjir di Hat Yai
November 25, 2025, 8:36 pm
SAM kecam serangan terhadap wartawan Haresh Deol
November 25, 2025, 8:31 pm
Wartawan Haresh Deol cedera diserang dua individu tidak dikenali
November 25, 2025, 6:21 pm
'Ada cubaan untuk menyerang saya' - Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik PM
November 25, 2025, 5:46 pm
Lelaki dipenjara lima tahun cuba langgar, bunuh polis di stesen minyak di Klang
November 25, 2025, 3:55 pm
PRN Sabah: Fahmi nafi dakwaan PH biayai kempen media sosial RM8 juta burukkan Warisan
November 25, 2025, 3:22 pm
