Berita Berita
Kaunselor motivasi eHati dedah anggota badan didenda RM4,000, menangis rayu hukuman penjara ditepikan
SHAH ALAM 26 Nov – Seorang kaunselor program motivasi rumah tangga berdepan saat sukar apabila mengalirkan air mata di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas didapati bersalah mendedahkan anggota badan sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, dalam kejadian September tahun lalu.
Tertuduh, Siti Zaama Rizal Boss, 49, dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara satu bulan jika denda itu gagal dibayar.
Dalam rayuannya, Siti Zaama memohon maaf atas perbuatannya dan mengakui kesilapan tersebut, namun menjelaskan ia dilakukan akibat rasa malu dan rendah diri yang melampau susulan masalah rumah tangga yang dihadapinya.
"Saya ada masalah rumah tangga dan banyak trauma yang berat untuk saya tanggung. Saya mohon maaf dengan apa yang berlaku dan menjadi pengajaran yang jelas buat saya.
"Saya hanya mampu bayar denda RM500 kerana tidak bekerja dan suami juga tidak bekerja. Mohon mahkamah mempertimbangkan keadaan saya dan mengetepikan hukuman penjara," katanya.
Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badan yang dilarang oleh hukum syarak sehingga boleh dilihat orang lain. Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, Siti Zaama didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Husaini Roslin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam penghakimannya, Dr Zainal Abidin menegaskan setiap Muslim wajar menunjukkan teladan yang baik sebagai duta agama, khususnya kepada masyarakat bukan Islam.
"Islam itu sebagai 'pakaian' dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu.
"Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram jangan dilanggar sahaja… Kamu aibkan diri sendiri," katanya.
Dalam prosiding sama, dua lagi tertuduh iaitu Bushra Mohd Zaki, 41, dan Munirah Hishamshah, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa. Pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Kedua-duanya yang masing-masing diwakili Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff dan Rezal Mazli Abdul Muin, kemudian dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh. Mahkamah menetapkan perbicaraan kes mereka pada 5 Mac 2026.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi yang sama, namun pada tarikh berbeza iaitu antara jam 2.30 petang hingga 6.30 petang pada 30 September tahun lalu.
Berita berkaitan
November 27, 2025, 9:26 am
Kapal hampir karam di Pulau Perak: 18 selamat, seorang maut
November 27, 2025, 9:07 am
24 anggota PDRM dibuang kerja kerana rasuah sejak 2023
November 27, 2025, 8:44 am
SPRM minta wanita dalam klip video bersama Albert Tei hadir beri keterangan
November 27, 2025, 8:11 am
Mangsa banjir cecah hampir 30,000 orang, Kelantan paling terjejas teruk
November 26, 2025, 9:20 pm
'Kita sudah janji, kita akan laksanakan' - Kerajaan PH antara paling banyak salur bantuan kepada Sabah
November 26, 2025, 6:34 pm
Hujan di Hatyai direkod paling lebat dalam tempoh 300 tahun
November 26, 2025, 4:57 pm
MITI peruntuk RM250 juta galak PMKS guna teknologi pintar, automasi
November 26, 2025, 3:16 pm
Wartawan Malaysia meninggal dunia selepas buat liputan mangsa banjir di Hatyai
November 26, 2025, 1:49 pm
