TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kapal hampir karam di Pulau Perak: 18 selamat, seorang maut

By
|
Kongsi
image

 

LANGKAWI 27 Nov – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan susulan kejadian sebuah kapal hampir karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan semalam, membawa kepada penemuan 18 mangsa yang berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi disahkan maut.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, semua mangsa ditemui oleh kapal KD LEDANG milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diberi rawatan awal di atas kapal berkenaan.

Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Markas Wilayah Laut 3 (MAWILA 3), Pangkalan TLDM di Tanjung Lembung untuk tindakan lanjut.

"Sejurus KD LEDANG tiba di Jeti MAWILA 3 pada 6 pagi, kesemua mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Seorang mangsa yang maut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Romli berkata, selepas pemeriksaan kesihatan selesai, kesemua 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Malaysia untuk proses seterusnya.

"Susulan itu, SAR ditamatkan sepenuhnya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Maritim Malaysia mengaktifkan operasi SAR selepas sebuah kapal membawa pemancing dilaporkan hampir karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan, Kedah.

+ - reset