TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mangsa banjir cecah hampir 30,000 orang, Kelantan paling terjejas teruk

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Nov – Situasi banjir di beberapa negeri terus menunjukkan peningkatan ketara malam tadi, dengan Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas apabila jumlah mangsa hampir mencecah 11,000 orang. Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis turut mencatat peningkatan mendadak, manakala keadaan di Pahang tidak berubah.

Di KELANTAN, angka mangsa meningkat kepada 11,120 orang daripada 4,188 keluarga berbanding 10,578 orang daripada 4,016 keluarga petang sebelumnya.
Maklumat daripada laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 66 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Paras air di beberapa sungai utama turut kekal melebihi tahap bahaya, termasuk Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi setakat 8.30 malam.
Sementara itu, seorang wanita warga emas, Siti Gayah Zakaria, 70, dilaporkan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok, Tanah Merah awal pagi semalam.

Di PERAK, situasi banjir semakin memburuk dengan 5,424 mangsa daripada 1,686 keluarga ditempatkan di 44 PPS, meningkat daripada 4,739 mangsa petang sebelumnya.
Lapan daerah terjejas termasuk Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Muallim dan Batang Padang.
Manjung kekal mencatat jumlah tertinggi dengan 1,983 orang ditempatkan di 16 PPS, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.

Di KEDAH, jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 4,142 orang daripada 1,414 keluarga, berbanding 3,101 orang daripada 1,058 keluarga sebelumnya.
JPBN Kedah memaklumkan, semua mangsa berasal dari Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena, melibatkan 21 PPS.
Kubang Pasu kekal daerah paling terjejas dengan 2,435 mangsa, diikuti Kota Setar (1,562 orang) dan Pokok Sena (145 orang).

Di TERENGGANU, hujan berterusan sepanjang hari menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 3,233 orangdaripada 1,050 keluarga setakat 8 malam, berbanding 2,525 orang daripada 800 keluarga pada 3 petang.
Sebanyak 39 PPS dibuka di enam daerah: Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Dungun.

Di PERLIS, jumlah mangsa naik kepada 6,627 orang berbanding 6,370 orang petang tadi.
Semua mangsa ditempatkan di 21 PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar setakat 8 malam.

Di PAHANG, keadaan tidak berubah dengan 19 mangsa daripada lapan keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.

– BERNAMA

+ - reset