Berita Sukan
FIFPro kecam hukuman FIFA terhadap tujuh pemain warisan, anggap terlalu keterlaluan
KUALA LUMPUR 2 Dis - Kesatuan pemain bola sepak global, FIFPro mengecam tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menggantung tujuh pemain selama setahun susulan skandal pemain warisan membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FIFPro menyifatkan hukuman itu sebagai “terlalu keterlaluan”, sambil menegaskan pemain terbabit sebenarnya menjadi mangsa kegagalan pentadbiran, bukan pelaku kesalahan.
Menurut kenyataan badan itu, penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak amat berat memandangkan dapatan FIFA sendiri menunjukkan pemain tidak memalsukan sebarang dokumen.
“Jelas bahawa para pemain adalah mangsa dalam hal ini. Keputusan itu turut mengesahkan mereka tidak memalsukan dokumen untuk mendapatkan kelayakan, malah dokumen yang dikemukakan adalah tulen.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain terperangkap dalam situasi sama, jelas dokumen palsu yang muncul bukan hasil tindakan individu,” kata FIFPro.
FIFPro juga berpandangan tidak wajar pemain dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan kebangsaan, seolah-olah mereka perlu mengesahkan dokumen yang bukan mereka keluarkan.
Menurut badan itu lagi, semua pemain mematuhi prosedur yang ditetapkan — menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, melengkapkan proses angkat sumpah, memperoleh pasport kerajaan dan menunggu pengesahan kelayakan daripada FAM.
“Semua langkah ini dikendalikan institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan kelab dan akibat serius sedangkan mereka tidak bersalah.
“FIFPro menyatakan sokongan penuh kepada pemain terbabit dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan ini,” katanya.
Pada 18 November lalu, FIFA menerbitkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan, yang mendedahkan pegawai pentadbiran FAM dikenal pasti sebagai pihak mengubah serta memalsukan dokumen kelahiran tujuh pemain berkenaan.
FAM mengakui salinan sijil kelahiran yang dihantar ke FIFA adalah dokumen palsu, termasuk perubahan lokasi kelahiran datuk dan nenek pemain bagi mewujudkan hubungan keturunan dengan Malaysia.
Susulan itu, FIFA menyatakan integriti pertandingan antarabangsa telah terjejas.
Tujuh pemain yang digantung ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Selain digantung 12 bulan, mereka turut dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,411), manakala FAM dikenakan denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta).
Berita berkaitan
December 1, 2025, 11:49 am
Xisco Munoz akui JDT ‘kehilangan identiti’ tanpa Arif Aiman
November 26, 2025, 12:38 pm
FAM kecam serangan terhadap wartawan, gesa siasatan terperinci dibuat
November 24, 2025, 12:14 pm
JDT berazam cipta keputusan positif menentang Melbourne City FC dalam aksi ACLE
November 20, 2025, 7:35 am
Safee Sali gesa FAM selamatkan bola sepak negara dahulu
November 19, 2025, 8:22 am
FIFA dedah FAM, pemain warisan patut terima hukuman lebih berat
November 18, 2025, 4:00 pm
FIFA dakwa penggantungan Setiausaha Agung FAM sekadar ‘wayang’
November 18, 2025, 12:18 pm
FIFA kemuka alasan terperinci tolak rayuan FAM, arah dedah segera dalang pemalsuan dokumen
November 18, 2025, 10:23 am
Selangor FC harap FAM pertimbang rayuan sebelum aksi separuh akhir
November 11, 2025, 10:18 am
