Berita Sukan
Kemboja tarik diri daripada Sukan SEA susulan konflik dengan Thailand
BANGKOK 10 Dis - Kemboja menarik diri sepenuhnya daripada Sukan SEA 2025 hari ini, menurut seorang pegawai temasya, ketika konflik sempadan dengan tuan rumah Thailand kembali memuncak hingga mencetuskan pemindahan besar-besaran penduduk dari kedua-dua garisan pertikaian.
Sekurang-kurangnya 11 anggota tentera dan orang awam terbunuh di kedua-dua pihak, menurut pegawai, ketika pertempuran baharu menggagalkan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS).
Kemboja sebelum ini sudah menarik diri daripada lapan acara pada temasya yang dianjurkan Thailand, dengan ketua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara itu, Vath Chamroeun memberi alasan faktor "keselamatan".
Namun hari ini, pegawai kanan Sukan SEA, Akarin Hiranprueck mengesahkan Kemboja tidak lagi akan mengambil bahagian: "Kemboja sudah menarik diri," katanya kepada AFP.
Sukan SEA berlangsung hingga 20 Disember ini di Bangkok dan wilayah pantai berdekatan Chonburi, membabitkan ribuan atlet Asia Tenggara dalam pelbagai acara termasuk bola sepak, lawan pedang, papan luncur, pelayaran dan sukan tempur.
Bagaimanapun, pertempuran terbaharu minggu ini antara Thailand dan Kemboja berhubung pertikaian sempadan lama itu jelas menenggelamkan temasya sukan itu.
Keselamatan turut diperketat pada upacara pembukaan di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok malam tadi, yang dihadiri kerabat diraja Thailand dan menampilkan idola K-Pop Thailand, BamBam.
Delegasi kecil Kemboja turut menyertai perarakan atlet.
Pertempuran minggu ini adalah yang paling buruk sejak lima hari pertempuran pada Julai yang meragut puluhan nyawa sebelum gencatan senjata dicapai, sebahagian besarnya hasil campur tangan Presiden AS, Donald Trump.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran baharu, yang mana semalam merebak ke lima wilayah Thailand dan Kemboja, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan rasmi.
Lebih 500,000 penduduk sudah melarikan diri ke kawasan selamat di Thailand dan Kemboja sejak konflik sempadan kembali tercetus, menurut kedua-dua kerajaan semalam, angka yang melepasi jumlah pelarian ketika ketegangan serupa awal tahun ini.
Pertikaian antara Thailand dan Kemboja berakar daripada perbalahan berusia lebih satu abad mengenai peta sempadan era pemerintahan kolonial Perancis, dengan kedua-dua negara mendakwa beberapa kawasan kuil di sepanjang garisan berkenaan menjadi milik mereka. – AFP
Berita berkaitan
June 12, 2026, 9:36 am
Harimau Malaya naik dua anak tangga ke kedudukan 136 dunia
June 8, 2026, 7:20 pm
Piala AFF: Nafuzi Zain dilantik bimbing Harimau Malaya bulan depan
May 30, 2026, 4:34 pm
Azeem Fahmi lakar sejarah layak ke Grand Final NCAA
May 25, 2026, 3:54 pm
Arif Aiman selamat tamatkan zaman bujang, dijangka bersanding malam ini
May 19, 2026, 3:54 pm
Chen Tang Jie, Toh Ee Wei dinobat Olahragawan dan Olahragawati Negara
May 19, 2026, 11:20 am
Neymar kembali sertai skuad Brazil ke Piala Dunia 2026
May 18, 2026, 11:28 am
Isu gaji KTRW makin parah: Bank kejar, kereta kena tarik dan pemain dihalau rumah
May 17, 2026, 3:31 pm
Khairul Fahmi 'Apek' tinggalkan Sabah FC selepas lima tahun berbakti
May 15, 2026, 10:01 am
JDT lihat sudut positif walaupun gagal ke final ACC
May 14, 2026, 7:28 am
