Berita Dunia
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
SYDNEY 15 Dis - Polis Australia mengesahkan seorang lelaki bersama anak lelakinya sebagai suspek utama dalam serangan tembakan di Pantai Bondi, Sydney, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis.
Pihak berkuasa Australia dalam kenyataan menyifatkan insiden yang berlaku pada malam pertama sambutan Hanukkah itu sebagai serangan anti-Semitik yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Menurut kenyataan berkenaan, penyerang utama berusia 50 tahun maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Polis turut memaklumkan kedua-dua suspek memiliki enam senjata api berlesen yang dipercayai digunakan dalam insiden berdarah itu.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, berkata pihaknya telah menyerbu dua hartanah di Sydney yang dikenal pasti sebagai kediaman kedua-dua suspek.
"Kami mahu menyiasat hingga ke akar umbi. Kami mahu memahami motif di sebalik kejadian ini. Dan kami sudah tentu mahu memahami tindakan yang telah berlaku," katanya.
Mangsa termuda yang terkorban ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang meninggal dunia di hospital, manakala mangsa tertua berusia 87 tahun.
Seramai 42 lagi individu dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut termasuk dua anggota polis yang cedera dalam kejadian itu.
Menurut polis, siasatan kini turut menumpukan kemungkinan insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan ekstremis.
Pantai Bondi dilaporkan masih berselerak dengan barang-barang peribadi yang ditinggalkan orang ramai ketika melarikan diri, termasuk meja perkhemahan dan selimut.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi nasional dan menggesa rakyat negara itu bersatu menentang kebencian serta keganasan.
Beliau yang melawat lokasi kejadian dan meletakkan bunga di pintu masuk Bondi Pavilion memaklumkan bahawa bendera Australia dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.
"Apa yang kita saksikan semalam adalah tindakan kejahatan tulen, tindakan anti-semitik, tindakan pengganas di pantai kita di lokasi ikonik Australia, Pantai Bondi, yang biasanya dikaitkan dengan kegembiraan, perhimpunan keluarga, dan sambutan.
"Ia kini tercemar selama-lamanya oleh apa yang berlaku semalam," katanya pada sidang media.
Kawasan sekitar Pantai Bondi kini ditutup bagi tujuan siasatan forensik manakala kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh bandar Sydney.
Rabi Mendel Kastel yang mengendalikan pusat kaunseling krisis Jewish House turut mengesahkan adik iparnya antara mangsa yang maut dalam serangan itu.
"Sungguh tidak dapat dipercayai perkara ini berlaku di sini di Australia, tetapi kami perlu kekal teguh. Ini bukan Australia yang kami kenal dan ini juga bukan Australia yang kami mahukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, rakaman tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang dikenal pasti media tempatan sebagai Ahmed al Ahmed, 43, seorang penjual buah-buahan, bertindak berani menerpa salah seorang penyerang ketika tembakan dilepaskan ke arah orang ramai.
Lelaki berkenaan berjaya merampas senjata daripada penyerang sebelum mengacukannya, menyebabkan suspek berundur dari lokasi kejadian. – AFP
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
