TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Graduan perubatan boleh guna gelaran ‘Dr’, namun tertakluk syarat – MMC

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Dis – Graduan perubatan daripada sesuatu program ijazah perubatan dibenarkan menggunakan gelaran akademik ‘Dr’ sebagai tanda kelayakan akademik, namun penggunaan gelaran tersebut tidak memberi hak secara automatik untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, gelaran ‘Dr’ bukan eksklusif kepada pengamal perubatan semata-mata kerana ia turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan Akta Perubatan 1971 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamalkan perubatan di Malaysia hendaklah berdaftar dengan MMC serta memiliki Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathar menjelaskan bahawa graduan perubatan yang memperoleh kelayakan daripada program yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 masih boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran, namun tertakluk kepada keperluan undang-undang termasuk lulus peperiksaan serta menjalani latihan siswazah di hospital latihan siswazah yang diiktiraf di Malaysia.

Beliau turut menggalakkan orang awam membuat semakan status pendaftaran mana-mana pengamal perubatan melalui sistem Medical Register Information and Technical System (MeRITS) di laman sesawang rasmi MMC.

“Sebarang keraguan atau aduan berkaitan kemungkinan penyamaran atau salah guna gelaran boleh disalurkan kepada admin.mmc@moh.gov.my.

“MMC komited melindungi keselamatan pesakit dan memastikan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan hanya daripada pengamal perubatan yang benar-benar layak dan berdaftar,” katanya.

Isu penggunaan gelaran ‘Dr’ kembali menjadi perhatian susulan pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan, baru-baru ini.

Sebahagian netizen mempersoalkan penggunaan gelaran tersebut selepas mendakwa nama Mohammed Taufiq tidak tersenarai dalam laman web MMC, selain dakwaan beliau memperoleh ijazah perubatan dari Universitas Islam Bandung yang tidak diiktiraf di Malaysia.

+ - reset