TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Trafik perlahan di lebuh raya utama susulan cuti sekolah, sambutan Krismas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Dis – Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan sejak tengah hari tadi susulan orang ramai, terutamanya anak-anak perantau, mula bergerak pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Krismas esok.

Berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat 12.17 tengah hari, keadaan trafik secara keseluruhan dilihat perlahan, khususnya di laluan utama hala selatan dan Pantai Timur.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, aliran trafik perlahan dikesan di beberapa lokasi antaranya dari Juru Auto City ke Plaza Tol Juru, Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, serta Sedenak ke Kulai dan Setia Tropika ke Persimpangan Pasir Gudang.

Situasi sama turut berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, dengan trafik bergerak perlahan dari susur MRR2 ke Plaza Tol Gombak serta Gombak ke Genting Sempah, dipercayai akibat pertambahan kenderaan menuju ke Pantai Timur.

Di sekitar Lembah Klang pula, kesesakan dikesan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang dari Subang ke Damansara, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Damansara-Puchong serta Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat.

Keadaan ini mencerminkan peningkatan pergerakan kenderaan keluar dan masuk ibu kota menjelang cuti sekolah dan sambutan Krismas.

+ - reset