TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MB Perlis dibenarkan keluar hospital, kini berehat di kediaman

By
|
Kongsi
image

KANGAR 24 Dis – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat sakit dada, telah dibenarkan keluar hospital petang semalam.

Difahamkan, simptom berkenaan dialami sejurus beliau pulang daripada urusan luar negara.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu memaklumkan bahawa beliau telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, Alhamdulillah. Saya selamat discharge petang tadi (semalam).

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan kerahmatan oleh Allah,” katanya.

Mohd Shukri dijangka berehat terlebih dahulu di kediamannya di Kangar sebelum menyambung semula tugas rasmi.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mengadakan lawatan ke Shanghai, China bagi menghadiri Karnival Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai usaha menarik pelaburan serta memperkukuh daya saing perusahaan tempatan di Perlis.

MIHAS turut dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China, khususnya dalam memperluas jaringan serta akses pasaran halal di peringkat global.

Untuk rekod, pada 29 September 2019, Mohd Shukri yang ketika itu merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis pernah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri di Dewan 2020.

Dalam perkembangan lain, beliau kini turut berdepan kemelut kepimpinan kerajaan negeri apabila didakwa majoriti ADUN Perikatan Nasional (PN) telah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya.

Difahamkan, beberapa ADUN PN telah menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat.

+ - reset