Berita Dunia
Trump dakwa AS akan tadbir Venezuela susulan penangkapan Maduro
WASHINGTON 4 Jan – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu mengumumkan bahawa AS akan “mentadbir” Venezuela buat sementara waktu sehingga satu peralihan kuasa yang selamat, teratur dan adil dapat dilaksanakan, susulan penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores.
Dalam sidang media yang memperincikan operasi ketenteraan tersebut, Trump menyifatkan misi menahan Maduro sebagai satu “serangan yang tidak pernah disaksikan sejak Perang Dunia Kedua”, sambil memuji operasi itu sebagai antara demonstrasi kuasa, kekuatan dan kecekapan ketenteraan AS paling luar biasa dalam sejarah.
Beliau turut membandingkan operasi itu dengan Operasi Midnight Hammer yang memusnahkan fasiliti nuklear Iran pada Julai lalu, serta pembunuhan Jeneral Iran, Qasem Soleimani pada 2020.
Trump mendakwa semua keupayaan ketenteraan Venezuela kini telah “dilumpuhkan sepenuhnya”.
Menurutnya, operasi berskala besar yang melibatkan kekuatan udara, darat dan laut AS itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang korban jiwa atau kehilangan aset ketenteraan Amerika.
Trump mengesahkan Maduro dan Cilia Flores akan didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas tuduhan pengedaran dadah dan keganasan narco.
Terdahulu, Trump memuat naik gambar Maduro di atas kapal perang USS Iwo Jima di platform Truth Social.
Peguam Negara AS, Pamela Bondi turut mengesahkan pendakwaan tersebut menerusi hantaran di platform X, sambil menyatakan pasangan itu akan berdepan “sepenuhnya dengan keadilan Amerika”.
Trump menuduh Maduro menjalankan kempen keganasan dan subversi terhadap AS selama bertahun-tahun selepas tamat tempoh pemerintahannya, yang didakwa mengancam keselamatan rakyat Amerika dan kestabilan serantau.
Beliau juga mengaitkan Maduro dengan penyeludupan dadah berskala besar yang menurutnya membawa penderitaan serta kemusnahan kepada masyarakat, khususnya di AS.
Selain itu, Trump mendakwa Maduro menghantar anggota kumpulan geng Venezuela, Tren de Aragua, ke AS bagi menakutkan komuniti tempatan, termasuk mengaitkan kumpulan itu dengan kes pembunuhan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Houston pada 2024.
“Maduro tidak akan lagi mampu mengancam keselamatan rakyat Amerika,” tegasnya.
Serangan udara berskala besar yang membawa kepada penangkapan Maduro dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu di Caracas serta beberapa negeri lain termasuk Miranda, Aragua dan La Guaira, sekali gus memaksa kerajaan Venezuela mengisytiharkan darurat nasional dan menggerakkan pelan mobilisasi.
Sekurang-kurangnya tujuh letupan dan penerbangan pesawat pada altitud rendah dilaporkan sekitar jam 2 pagi waktu tempatan di Caracas.
Kerajaan Venezuela mengecam tindakan itu sebagai “pencerobohan ketenteraan” AS dan menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, pihak berkuasa Venezuela mendakwa terdapat korban dalam kalangan orang awam dan anggota keselamatan, namun tidak mendedahkan angka rasmi.
Tindakan Trump itu mencetuskan persoalan berhubung asas undang-undang operasi berkenaan, memandangkan AS tidak mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Langkah itu juga berpotensi mencetuskan bantahan Kongres AS yang mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengisytiharkan perang, selain menerima kritikan daripada sebahagian penyokong dasar “America First” yang menolak campur tangan ketenteraan luar negara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menjelaskan bahawa Kongres dimaklumkan sejurus selepas operasi selesai kerana misi berkenaan bersifat sensitif dan tidak boleh didedahkan lebih awal.
Sementara itu, beberapa ahli politik Demokrat mengkritik tindakan tersebut sebagai satu langkah mengembalikan era dominasi AS terhadap urusan dalaman negara-negara di Hemisfera Barat.
Trump bagaimanapun menegaskan armada tentera AS akan kekal berada di posisi strategik sehingga semua tuntutan Washington dipenuhi sepenuhnya, sambil memberi amaran bahawa operasi itu menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam kedaulatan atau keselamatan rakyat Amerika.
Berita berkaitan
January 9, 2026, 10:22 pm
Bekas Menteri Agama Indonesia dinamakan sebagai suspek rasuah kuota haji
January 6, 2026, 11:08 am
Maduro mengaku tak bersalah di Mahkamah New York, dakwa diculik tentera AS
January 6, 2026, 10:44 am
10 motosikal terlibat kemalangan di Causeway Johor–Singapura
January 5, 2026, 11:34 am
Trump dakwa Venezuela kini 'tanggungjawab' AS, akui berurusan kepimpinan baharu
December 26, 2025, 10:06 am
Kongsi foto pokok Krismas, Salah dikecam sekali lagi
December 22, 2025, 8:02 pm
Penerbangan Air India berpatah balik ke Delhi selepas enjin mati
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
