Berita Dunia
Serangan peluru berpandu Iran ragut satu nyawa di Tel Aviv
TEL AVIV 1 Mac – Agensi kecemasan Israel mengesahkan seorang wanita maut selepas peluru berpandu dilancarkan Iran mengenai pusat bandar Tel Aviv, dalam serangan yang bermula awal semalam.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom memaklumkan paramedik mengesahkan kematian wanita berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan parah di lokasi kejadian.
Menurut pihak berkuasa, insiden itu berlaku selepas peluru berpandu Iran melanda kawasan kediaman di tengah bandar berkenaan. Seorang pegawai kanan tentera Israel turut mengesahkan impak tersebut menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media.
Serangan itu merupakan kematian pertama yang disahkan sejak Iran melancarkan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap gelombang serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Republik Islam itu.
Imej dari lokasi menunjukkan anggota bomba serta pasukan polis berada di kawasan kejadian, dengan beberapa bangunan kediaman mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan akibat letupan. Pasukan bomba dilihat memadamkan kebakaran, manakala paramedik memindahkan mangsa yang cedera ke hospital.
Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel memaklumkan seramai 20 individu yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Beberapa jam kemudian, tentera Israel berkata satu lagi gelombang peluru berpandu mencetuskan siren amaran serangan udara di beberapa kawasan lain.
Menurut polis, serpihan peluru berpandu atau sistem pemintas turut mengenai kawasan Jerusalem tanpa laporan segera mengenai korban.
Sepanjang petang, letupan kuat dilaporkan kedengaran di sekitar Tel Aviv, Jerusalem dan Tebing Barat yang diduduki, ketika sistem pertahanan udara Israel berusaha memintas peluru berpandu yang dilancarkan.
Tentera Israel memaklumkan beberapa titik impak telah direkodkan di seluruh negara susulan serangan tersebut.
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
